
ENGKILILI: Dua lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu dalam satu operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah, dikenali sebagai ‘Op Tapis Khas’ di Pekan Engkilili, hari ini.
Ketua pasukan operasi, Inspektor Harper Kenol mengetuai penahanan kedua-dua suspek selepas menerima maklumat awam dan hasil risikan yang dijalankan di kawasan terbabit.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek menunjukkan keputusan positif bagi dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Hasil semakan lanjut mendapati kedua-dua individu tersebut turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan kes dadah serta jenayah lain.
Polis menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan dadah yang berlaku di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras gejala ini.
IPD Lubok Antu turut menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman