Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Usaha angkat semula warisan Tari Salako melalui Bengkel Totokng dan Ngoncong
  • TEMPATAN

Eksklusif: Usaha angkat semula warisan Tari Salako melalui Bengkel Totokng dan Ngoncong

Utusan Sarawak 1 day ago
TARIAN SALAKO… Sherlynna Parveen (tiga dari kiri, atas) bersama Awang Ikman Awang Sepian (tengah, atas), Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, bergambar bersama tetamu kehormat serta barisan penari selepas majlis penutupan Bengkel Tari Salako: Totokng dan Ngoncong, baru-baru ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Seni tari etnik minoriti Salako kini mendapat nafas baharu melalui penganjuran Bengkel Tari Salako: Totokng dan Ngoncong yang diadakan selama dua hari di Kuching, anjuran Sherlyn Management Company (SMC Collective) dengan sokongan Majlis Seni Sarawak melalui Skim Galakan Kesenian (Geran MySENI).

Menurut Pengarah Urusan merangkap Pengarah Program, Sherlynna Parveen, bengkel tersebut bertujuan mencipta kesedaran terhadap kewujudan tarian tradisi Totokng dan Ngoncong, yang kini hanya dikenali dalam komuniti kecil di Lundu dan Sematan.

“Objektif utama bengkel ini adalah untuk memperkenalkan tarian Salako di Kuching dan menunjukkan kepada masyarakat keindahan di sebalik gerak dan makna setiap langkahnya. Totokng dan Ngoncong jarang ditonjolkan, walaupun mempunyai nilai budaya yang tinggi,” katanya.

PENGARAH Urusan merangkap Pengarah Program, Sherlynna Parveen berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Tari Salako: Totokng dan Ngoncong di sebuah pusat membeli belah, di Kuching, baru-baru ini. Foto Adele Rissa

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Tari Salako: Totokng dan Ngoncong di sebuah pusat membeli belah, di Kuching baru-baru ini. 

Bengkel yang menghimpunkan sepuluh penari wanita tempatan itu bukan sekadar wadah pembelajaran teknik tari, tetapi turut menjadi platform memperkenalkan dan menghidupkan semula warisan budaya masyarakat Salako yang semakin jarang dipertontonkan, khususnya di kawasan bandar.

Totokng pada asalnya merupakan tarian menyambut kepulangan panglima selepas memburu, manakala Ngoncong pula berfungsi sebagai tarian ritual kesyukuran dan penyembuhan. 

TARIAN SALAKO… Penari Totokng mengambil bahagian dalam bengkel anjuran SMC Collective di Kuching, baru-baru ini.  Foto Adele Rissa

Kini, kedua-dua tarian tersebut telah diolah semula agar sesuai dipersembahkan dalam pelbagai acara seperti gawai, perkahwinan dan majlis kebudayaan.

Sherlyn turut berkongsi bahawa inspirasi untuk menganjurkan bengkel ini berakar daripada latar keluarganya sendiri.

“Bapa saya seorang Salako dari Kampung Jantan, Lundu. Lagu Ngoncong sering menjadi lagu dodoi kami adik-beradik, dan kini ia menjadi lagu dodoi untuk cucunya pula. 

“Dari situlah tercetus idea untuk mengangkat semula warisan ini kerana tarian Totokng dan Ngoncong sangat jarang diajar atau dipersembahkan di Kuching,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatih jemputan, Belinda Lim yang merupakan koreografer dan pakar dalam tradisi Salako, atas dedikasi membimbing para peserta memahami makna di sebalik gerak tari tradisional ini.

TARIAN SALAKO… Penari Ngoncong mengambil bahagian dalam bengkel anjuran SMC Collective di Kuching, baru-baru ini.  Foto Adele Rissa

Bagi Sherlyn, cabaran terbesar dalam menganjurkan bengkel tersebut ialah mendapatkan tenaga pengajar yang benar-benar memahami tarian Salako serta muzik iringannya yang sukar diperoleh di luar daerah asalnya.

“Tenaga pengajar sangat terhad, sebab itu kami berbesar hati apabila Belinda bersetuju datang ke Kuching. Harapan saya, melalui bengkel ini lebih ramai akan berminat untuk belajar bukan sahaja tarian tetapi juga muzik tradisi Salako,” katanya.

SMC Collective turut merancang untuk menganjurkan siri lanjutan bengkel tahun hadapan, termasuk bengkel muzik tradisi Salako dan bengkel pantun Ngoncong, bagi memperluas pemahaman terhadap seni persembahan etnik tersebut.

“Kami gembira melihat sambutan yang menggalakkan. Ramai yang meminta kami adakan siri kedua. Dengan sokongan Majlis Seni Sarawak (MSS), kami bersemangat untuk meneruskan usaha ini dalam skala yang lebih besar,” tambahnya.

Sherlyn turut menyatakan rasa syukur atas kepercayaan MSS serta kerjasama daripada Kelab Jejak Warisan dan Khazanah Salako Rara yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan.

“Saya berharap bengkel ini menjadi langkah kecil tetapi bermakna dalam mengangkat semula seni tari tradisi etnik minoriti Salako ke pentas yang lebih luas. Semoga semangat yang lahir daripada bengkel ini terus menyala bukan hanya di pentas, tetapi juga dalam hati kita semua,” katanya mengakhiri ucapan penutupan.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Regata Lingga 2025: Gelora tunduk, wira bangkit menghimpun semangat pahlawan sungai
Next: Polis Sarawak sedia guna SOSMA, AMLA gempur sindiket dadah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.