Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pengalaman pertama sambut Deepavali, warnai kehidupan pasangan di Sarawak  
  • SEMASA

Pengalaman pertama sambut Deepavali, warnai kehidupan pasangan di Sarawak  

Utusan Sarawak 1 day ago
GAMBAR hiasan.

KUCHING: Sambutan Deepavali tahun ini memberi makna tersendiri buat Laura Zeeta Pellane, 23, dari Padawan apabila menyambutnya buat pertama kali sebagai seorang isteri.

Laura yang berkahwin dengan V. Janagaraj, 24, pada Ogos lepas berkata menyambut pesta cahaya itu merupakan pengalaman baharu baginya kerana selama ini hanya meraikan Hari Gawai dan Krismas bersama keluarganya di Kampung Sira.

“Kini saya tinggal di kampung suami di Kuching dan tahun ini saya merasai pengalaman baharu penuh makna iaitu meraikan Deepavali bersama keluarga mentua. 

“Lebih menarik menu kami pada sambutan Deepavali ini adalah gabungan dua budaya kerana suami juga kacukan India dan Bidayuh, jadi masakan seperti kari, ayam pansuh akan dihidang kepada tetamu dan diharapkan mereka suka dengan kelainan ini,” katanya ketika ditemui selepas upacara sembahyang di Kuil Sri Maha Mariamman di sini hari ini.

Suaminya, Janagaraj pula berkata pengalaman menyambut Deepavali sebagai golongan minoriti di Sarawak menjadikan ia lebih bermakna. 

Ini kerana, katanya semua rakan, jiran dan saudara mara akan bersama-sama menikmati serta menghayati keindahan budaya masyarakat India di Sarawak dengan berkunjung ke rumah terbuka yang diadakan keluarganya. 

“Walaupun bukan cuti umum seperti di Semenanjung kita tetap dapat merasai kemeriahannya. Saya gembira dapat berkongsi tentang adat dan makanan tradisional Deepavali dengan isteri saya. 

“Tahun ini saya juga bantu isteri hias rumah dengan kolam dan lampu minyak, ia pengalaman baharu yang menyeronokkan,” katanya.

Sementara itu, seorang bakal guru S. Aishwarrya, 21, yang berasal dari Pulau Pinang berkata Deepavali tahun ini memberi pengalaman baharu dan penuh kenangan apabila buat pertama kali menyambutnya di bumi Sarawak.

“Ia tetap seronok cuma pada awal agak janggal sebab jika di Semenanjung, Deepavali adalah cuti umum dan semua orang meraikannya tapi di Sarawak, hari ini hari bekerja seperti biasa,” katanya yang berpendapat sambutan akan lebih bermakna jika cuti umum turut diberikan bagi meraikan Deepavali di negeri ini.

-Bernama  

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: AirAsia terima pesawat A321neo, A321LR separuh kedua 2026 perluas penerbangan jarak sederhana
Next: Kerjasama bomba, masyarakat efisien tangani kes kecemasan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.