
MIRI: Pustaka Negeri Sarawak, Miri sekali lagi menganjurkan Festival Sarawakiana 2025, acara dwi tahunan yang meraikan keunikan dan kekayaan warisan pelbagai kaum di negeri ini.
Dengan tema ‘Warisan Ilmu, Budaya dan Kepercayaan’, festival kali ini mengetengahkan kepelbagaian ilmu tradisional, nilai budaya serta kepercayaan yang membentuk identiti masyarakat Sarawak.
Majlis perasmian festival akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato’ Dennis Ngau, pada 23 Oktober ini di Hotel Pullman Miri, sebelum diteruskan di Pustaka Miri dari 23 hingga 25 Oktober 2025.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional, pameran seni dan warisan, bengkel interaktif, serta jualan produk etnik tempatan.
Antara acara utama ialah Forum Sarawakiana, Teater Pentas Seni, Pertandingan Bermukun, Pesona Kebaya Sarawakiana, serta pertandingan masakan tradisional.
Menariknya, festival tahun ini turut disertai delegasi dari Brunei Darussalam yang akan mempersembahkan teater khas sebagai simbol kerjasama budaya serantau.
Festival ini bukan sahaja memupuk semangat perpaduan dan kefahaman silang budaya, sekali gus memperkukuh pewarisan tradisi serta nilai warisan kepada generasi muda.
Pustaka turut menjelaskan bahawa penganjuran ini selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkasa industri kreatif dan pelancongan budaya, di samping memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat komuniti yang inklusif dan dinamik.
Festival Sarawakiana 2025 dibuka kepada orang ramai dari 9.00 pagi hingga 10.000 malam dengan kemasukan percuma.
Bagi maklumat lanjut mengenai jadual aktiviti boleh diperoleh melalui laman rasmi Pustaka Negeri Sarawak atau media sosial rasmi Pustaka Miri, atau dengan menghubungi talian 085-422525.