
WASHINGTON (Amerika Syarikat): Dunia muzik kehilangan seorang figura penting apabila Sam Rivers, pemain bass asal kumpulan nu metal popular Amerika, Limp Bizkit, meninggal dunia pada usia 48 tahun, menurut kenyataan rasmi kumpulan itu pada Sabtu.
“Hari ini kami kehilangan saudara kami. Rakan seperjuangan kami. Nadi kami,” demikian kata ahli kumpulan Fred Durst, Wes Borland, John Otto dan DJ Lethal dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke Instagram.
Mereka menggambarkan Rivers sebagai lebih daripada sekadar pemain bass — seorang insan yang membawa keajaiban dalam muzik mereka.
“Sejak nota pertama yang kami mainkan bersama, Sam telah membawa cahaya dan ritma yang tidak mungkin dapat digantikan. Bakatnya semula jadi, kehadirannya tidak dapat dilupakan, dan hatinya amat besar,” tulis mereka.
Tiada punca kematian dinyatakan dalam kenyataan tersebut.
Limp Bizkit ditubuhkan oleh Rivers dan Fred Durst pada 1994, dan mereka melancarkan album sulung Three Dollar Bill, Y’all pada 1997.
Kumpulan ini terus melonjak populariti dengan album seterusnya, termasuk Chocolate Starfish and the Hot Dog Flavored Water yang menduduki tempat pertama carta US Billboard 200, dan mencatat jualan melebihi sejuta unit dalam minggu pertama pelancarannya pada 2000.
Rivers meninggalkan kumpulan pada 2015 selepas didiagnosis dengan penyakit hati yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol berlebihan, seperti yang didedahkannya dalam sebuah buku oleh penulis rock, Jon Wiederhorn.
Namun, beliau kembali menyertai Limp Bizkit pada 2018 dan turut terlibat dalam penghasilan album terbaru mereka, Still Sucks, yang dilancarkan pada 2021.
Dalam penghormatan terakhir mereka, rakan-rakan seband menggambarkan Rivers sebagai seorang ‘legenda sejati antara legenda.’
“Kami sayang kamu, Sam. Semangatmu akan terus hidup bersama kami selamanya. Beristirahatlah dengan tenang, saudara. Muzikmu tidak akan pernah berakhir,” ujar mereka.
DJ Lethal turut menyatakan bahawa mereka masih dalam keadaan terkejut dan meminta orang ramai menghormati privasi keluarga mendiang.- AFP