Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak kukuh di landasan, sasar jadi Bintang Asia Tenggara – Premier Sarawak
  • SEMASA

Sarawak kukuh di landasan, sasar jadi Bintang Asia Tenggara – Premier Sarawak

Utusan Sarawak 21 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan simbolik penutupan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin Sarawak berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai Bintang Asia Tenggara berikutan pertumbuhan ekonomi yang positif dan kedudukan kewangan yang stabil.

Menurutnya, hasil negeri kini mencecah RM14 bilion pada 2024, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM6 bilion pada 2017, hasil pentadbiran berhemah dan pelaksanaan dasar strategik berpaksikan kekuatan sumber negeri sendiri.

“Ekonomi Sarawak kini berkembang kukuh dan kita berada di arah yang betul. 

“Dengan asas kewangan yang stabil, saya yakin Sarawak berpotensi besar menjadi Bintang Asia Tenggara,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis penutupan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu hari ini.

Abang Johari berkata, pelaksanaan dasar ekonomi baharu seperti Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas minyak dan gas, penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) serta pelaburan dalam ekonomi hijau dan digital menjadi antara pemangkin utama kejayaan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa pengurusan fiskal berdisiplin membolehkan Sarawak kekal sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang masih mencatat lebihan kewangan (budget surplus).

Katanya, tenaga hijau kini menjadi sektor utama yang memacu pembangunan ekonomi negeri termasuk melalui perjanjian membekalkan 1,000 megawatt tenaga elektrik kepada Singapura bermula 2032.

Selain itu, Sarawak turut memperkukuh peranan dalam bidang tenaga hidrogen dan metanol hijau sebagai langkah memperluas sumber pendapatan negeri.

“Kita bukan sekadar menjual tenaga, tetapi membangunkan teknologi dan kepakaran sendiri agar manfaatnya kembali kepada rakyat,” katanya.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis penutupan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu hari ini.

Ciri geografi Sarawak yang merangkumi 60 peratus kawasan berhutan dan sumber air yang melimpah menjadikannya lokasi strategik untuk menerajui agenda tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.

Abang Johari turut berkongsi kejayaan saintis muda tempatan yang berjaya membangunkan cip Gallium Nitride (GaN) pertama di dunia di bawah jenama Ketek AI, sekali gus menandakan kemasukan Sarawak ke era teknologi mikroelektronik dan kecerdasan buatan (AI).

“Walaupun kilang pengeluaran berada di luar negara, hak milik dan jenama itu tetap milik Sarawak. 

“Ini bukti kemampuan kita bersaing di peringkat global,” ujarnya.

Nama ‘Ketek’, yang bermaksud penggerak, dipilih bagi melambangkan semangat inovatif Sarawak untuk terus maju dalam bidang teknologi dan ekonomi berasaskan ilmu.

Majlis penutupan Minggu Belia Sarawak 2025 turut menyaksikan penyampaian Anugerah Belia Sarawak 2025 (Individu Lelaki dan Wanita) serta Anugerah Persatuan Belia Sarawak 2025.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Oleh Carolyne Utih

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Konvokesyen UMS ditunda ke 30 November, beri laluan PRN Sabah
Next: Penerima SARA diminta buat laporan polis jika MyKad disalah guna

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.