
MUMBAI: Sebuah kisah cinta Bollywood yang cukup ikonik, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ), bakal menyambut ulang tahun ke-30 di pawagam yang sama, Pawagam Maratha Mandir sejak ia mula ditayangkan pada 20 Oktober 1995.
Selepas 30 tahun dan lebih 1,500 minggu, filem lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol ini masih menarik ratusan peminat, termasuk pelajar, pasangan muda dan juga warga emas.
“Saya dah tonton 30 kali, dan akan terus tonton,” kata Mohammad Shakir, 60, sambil membeli tiket bernilai 40 rupee (RM0.45).

Babak paling menyentuh hati dalam filem ini, saat heroin berlari ke arah kereta api dan dipeluk kekasihnya masih mencetuskan sorakan dan tepukan.
Bagi pengurus pawagam, Manoj Desai, filem ini bukan sekadar tayangan harian, tetapi sudah menjadi ‘tautan emosi’ antara generasi.
Malah, ada penonton tetap yang datang selama 20 tahun tiketnya ditaja oleh pihak pawagam sendiri.
Meskipun generasi muda lahir selepas filem ini ditayangkan, mereka tetap terpikat dengan kisah cinta tanpa syarat yang melangkaui batas budaya.
“Ia bukan sekadar filem, tapi lambang cinta dan nilai kekeluargaan,” kata seorang penonton muda.
Cubaan menghentikan tayangan pada 2015 ditolak peminat tegar. Kini, DDLJ dianggap sebagai monumen budaya filem yang menyatukan nilai lama dan baharu, serta terus hidup di layar perak.
-AFP