KUCHING: Pembangunan usaha sama UDA Holdings Berhad (UDA) dengan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC Sarawak) disaran membantu golongan Bumiputera di bandar melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminta dua organisasi berkenaan memberi serta membina peluang dan ruang kepada Bumiputera di kalangan B40.
“Ini langkah yang pertama UDA kena tunjuk dengan baik dan lepas itu saya yakin SEDC mampu menunjukkan kepada UDA peluang dan ruang di seluruh Sarawak dengan restu dan kebenaran Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg),” katanya.
Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Usaha Sama antara UDA Holdings Berhad (UDA) dengan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC Sarawak) di sebuah hotel terkemuka semalam.
Menurut Wan Junaidi meyakinkan kementeriannya akan memastikan jalinan kerjasama itu berhasil demi kepentingan rakyat negeri ini.
Selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak yang ingin mengangkat ekonomi digital sebagai landasan pembangunan, Wan Junaidi mengakui sudah memaklumkan hasrat berkenaan kepada UDA.
“Saya sudah berbisik kepada UDA untuk menyediakan satu jenis ruang perniagaan digital seperti Lowyat di Kuala Lumpur.
“Kita sediakan di bandar-bandar (selain Kuala Lumpur) untuk anak muda yang tidak mahu kerja kilang, kebun atau ke tempat yang dikatakan 3d (dirty dangerous and dimity – kotor, bahaya dan malap),” jelasnya ruang kerja yang canggih itu perlu disediakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Bercakap mengenai permeteraian perjanjian antara UDA dan SEDC itu, Wan Junaidi menzahirkan penghargaan kepada SEDC Sarawak atas kepercayaan yang diberikan kepada UDA untuk turut menyumbang kepada perubahan landskap pembangunan Sarawak.
“UDA yang merupakan salah sebuah agensi di bawah Kementerian turut memainkan peranan dalam menjayakan hasrat murni ini dan buat julung kalinya UDA bakal meneroka pembangunan hartanah di Negeri Sarawak,” ujarnya.
Menerusi perjanjian usaha sama ini, UDA akan bertindak sebagai pemaju hartanah bagi membangunkan tanah milik SEDC Sarawak yang turut merupakan agensi Kerajaan Sarawak yang diberi kepercayaan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi dan perindustrian di Sarawak.
“Saya percaya menerusi cadangan pembangunan usaha sama ini, akan mengukuhkan lagi hubungan dan seterusnya melahirkan sinergi yang baik antara Kementerian dengan Kerajaan Sarawak sekali gus memberi impak yang positif kepada pembangunan di Sarawak.
“Saya berharap semoga cadangan pembangunan usaha sama yang merangkumi kediaman dan komersial iaitu apartmen, kedai pejabat dan hotel ini akan merancakkan lagi pembangunan di Sarawak,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Usaha Sama antara UDA Holdings Berhad (UDA) dengan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC Sarawak).
Oleh Diyana Samsuddin