
SANTUBONG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyalurkan RM16.6 juta kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi melaksanakan program bantuan dan evokasi kesuburan serta aktiviti kekeluargaan yang memberi manfaat pada masyarakat.
Menterinya Dato Seri Nancy Shukri berkata peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada RM4.187 bilion dalam Belanjawan 2026 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kementeriannya baru-baru ini bagi memperkukuh kesejahteraan wanita, keluarga dan masyarakat.
“Ia bagi melaksanakan inisiatif yang menyentuh terus kehidupan rakyat seperti Program Bantuan Kesuburan dan Advokasi Inferliti, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI), kependidikan ibu bapa serta Agenda Nasional Keluarga Negara.
“Peruntukan ini bukan sekadar angka atas kertas, ia juga bukti Kerajaan MADANI terus berusaha menjaga akar kekuatan negara iaitu keluarga kita sendiri,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Kasih Keluarga dan ‘Kick Off’ Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 di Santubong, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah dan Pengerusi LPPKN Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Nancy berkata langkah itu juga merupakan antara usaha kerajaan menggalakkan pertambahan kadar kelahiran di negara ini.
“Kita masih lagi kekurangan dari segi penduduk, jadi kita galakkan pasangan berkahwin supaya jika ada rezeki segera menimang cahaya mata bagi menambah bilangan penduduk negara.
“Kami memikirkan dan membincangkan supaya program keibubapaan ini dapat dikuatkan lagi kerana mereka berhadapan cabaran besar dalam mendidik anak-anak di era moden, terutama dengan pengaruh gajet dan media sosial.
“Sebab itu kami akan memperkukuh pendidikan keibubapaan dan nilai kekeluargaan,” katanya.
Pada masa sama, Nancy berkata program Kasih Keluarga tersebut turut menjadi pelancaran kepada Bulan Keluarga Kebangsaan 2025, yang disambut sepanjang November dengan tema menekankan kepentingan institusi keluarga sebagai asas kekuatan negara.
Tambah beliau peruntukan itu dilihat sebagai langkah strategik kementerian dalam memperkukuh institusi kekeluargaan dan menangani isu sosial serta kadar kesuburan rendah di Malaysia.
-Bernama