
BINTULU: Program Youth Marketplace sempena Minggu Belia Sarawak 2025 disifatkan sebagai platform penting dalam memperkasa kemahiran, bakat dan jaringan keusahawanan golongan belia di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat, berkata penganjuran Youth Marketplace bukan sekadar ruang jualan, sebaliknya berperanan sebagai wadah latihan dan pendedahan kepada usahawan muda untuk meningkatkan kemahiran pemasaran, komunikasi serta membina jaringan profesional.
“Kita dimaklumkan pada hari ini lebih kurang 30 usahawan muda yang turut serta menjayakan Youth Marketplace ini.
“Jadi ini merupakan satu platform untuk mengasah bakat dan kemahiran para usahawan muda tentang kemahiran pemasaran, komunikasi serta memperkukuhkan jaringan antara usahawan dan masyarakat umum supaya mereka dapat memahami kemahiran sebenar menjadi usahawan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Youth Marketplace sempena Minggu Belia Sarawak di Padang Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.


Dr Ripin Lamat berkata, penganjuran Youth Marketplace selaras dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi tumpuan kepada pembangunan belia dan keusahawanan sebagai salah satu teras utama agenda kerajaan negeri.
Katanya, melalui platform seperti itu, lebih ramai belia dapat dibimbing menjadi pencipta peluang pekerjaan (job creators) berbanding hanya pencari pekerjaan (job seekers), sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Apabila belia berjaya sebagai usahawan, mereka bukan sahaja menjana pendapatan sendiri tetapi turut membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan masyarakat setempat.
“Ini selaras dengan matlamat kerajaan Sarawak untuk mencapai pendapatan isi rumah tinggi menjelang 2030,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan, institusi pengajian dan usahawan tempatan yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.
Beliau memberitahu, Youth Marketplace akan terus dijadikan pengisian utama dalam sambutan Hari Belia pada masa akan datang sebagai usaha berterusan memperkasa ekonomi dan daya saing belia Sarawak.
Oleh Carolyne Utih