
LAWAS: Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lawas berdepan cabaran untuk menangkap seekor ular tedung selar seberat 14 kilogram (kg) sepanjang empat meter (m) yang bertindak agresif ketika ditangkap semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Lawas Leftenan (PA) Maradona Tatah berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kes itu pada 4.41 petang.
Beliau berkata sebaik menerima laporan itu, sepasukan anggotanya dikerah ke lokasi di Jalan Lawas Damit, Kampung Long Tuma yang terletak dua kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Lawas.

“Setibanya di lokasi, kita dimaklumkan ular tedung selar sepanjang empat meter dengan anggaran berat 14kg berada di kawasan longkang rumah pengadu.
“Sepanjang operasi dijalankan pasukan kita berdepan tindak balas agresif daripada reptilia tersebut sehingga menyebabkan kerosakan pada peralatan digunakan” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya reptilia itu berjaya ditangkap dan operasi ditamatkan pada 5.29 petang.
Oleh Adeng Edrus