
KUCHING: Persatuan Pelukis Sarawak (SAS) kekal sebagai salah satu badan seni paling aktif di Malaysia dan terus menjadi pemangkin kepada perkembangan seni visual di negeri ini selepas empat dekad penubuhannya.
Presidennya, Sebastian Jong berkata, sejak ditubuhkan 40 tahun lalu, SAS telah memainkan peranan penting dalam menyediakan platform kepada artis tempatan untuk berkarya, berkolaborasi dan memperkenalkan seni Sarawak ke peringkat antarabangsa.
“Kita berterima kasih kepada perintis dan pengasas persatuan ini yang empat dekad lalu percaya bahawa seni mampu menyatukan, mendidik dan memperkasakan komuniti.
“Tanpa semangat dan dedikasi mereka, kita tidak akan berdiri di tahap ini hari ini,” katanya ketika berucap pada Pameran Seni Tahunan ke-40 Persatuan Pelukis Sarawak bertemakan ‘Warisan Dijana Semula’ di Westbury Galleria, semalam.

Menurutnya, SAS kini bukan sahaja berperanan sebagai wadah pameran dan bengkel seni, malah menjadi penggerak kepada pendidikan seni dan jaringan kerjasama antara artis, institusi serta masyarakat umum.
Sebastian berkata, ramai ahli SAS telah dijemput mewakili Malaysia ke pameran seni dan kem seni antarabangsa, menjadikan mereka duta seni yang turut memperkenalkan keindahan Sarawak kepada dunia.
Menyentuh tema tahun ini, ‘Warisan Dijana Semula’ beliau berkata ia membawa mesej mendalam tentang usaha menghidupkan semula warisan melalui pandangan dan kaedah moden tanpa meninggalkan akar tradisi.
“Dijana semula bermakna kita tidak meninggalkan akar warisan, sebaliknya memberi nafas baharu dan makna baharu melalui inovasi dan teknologi.
“Ia tentang menjambatani tradisi dan pembaharuan agar warisan terus berkembang serta memberi inspirasi,” katanya.
Sebastian turut mengucapkan penghargaan kepada Datuk Hilmy Othman, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), atas kesudian merasmikan pameran tersebut, serta Majlis Seni Sarawak atas sokongan padu menjayakan acara itu.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada kurator pameran, Dr. Mohd Faizuan, serta jawatankuasa kerja dan ahli SAS yang telah bekerjasama menjayakan pameran berkenaan.
Oleh Adele Rissa