
Pengurus Liverpool Arne Slot menganalisis punca kemerosotan pasukannya selepas tiga kekalahan berturut-turut. Foto AFP.
LONDON: Ketika Liverpool memulakan musim ini dengan lima kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana, ia kelihatan seperti mereka sedang menuju ke gelaran liga ke-21 – yang akan mengatasi rekod Manchester United.
Namun, masalah yang sebelum ini ditutup dengan jaringan lewat akhirnya memakan diri apabila mereka tewas kepada Crystal Palace dan Chelsea, selain kekalahan dalam Liga Juara-Juara kepada Galatasaray.
Tiga kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan bukan perkara biasa bagi kelab dengan cita-cita setinggi Liverpool, dan pengurus mereka Arne Slot telah meneliti punca kemerosotan itu menjelang pertemuan menentang United di Anfield malam esok.
“Kalau dibandingkan dengan musim lalu, kami tidak mencipta sebanyak peluang, tetapi kami bolos terlalu banyak,” kata pengendali dari Belanda itu.
“Sembilan gol dibolosi – empat daripadanya hasil sepakan penjuru atau situasi bola mati. Baki lima lagi datang daripada dua serangan balas pantas dan tiga dari permainan terbuka. Kami banyak dibolosi hasil hantaran silang dan perkara itu perlu diperbaiki.
“Namun jelas juga, kami tidak mencipta peluang sebanyak musim lalu… Kadangkala kami bergantung pada detik istimewa daripada tiga penyerang utama atau situasi bola mati. Musim ini tidak banyak detik istimewa, dan tiada banyak gol dari bola mati.”
“Slot menambah bahawa Liverpool kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Arsenal, tetapi “bolos empat gol dari situasi bola mati terlalu banyak bagi pasukan yang mahu bersaing untuk kejuaraan.”
“Apabila kalah tiga kali berturut-turut, anda perlu lakukan lebih baik. Kami perlu kekalkan tabiat baik sama ada menang atau kalah, tapi selepas tiga kekalahan, kami harap akan ada percikan semangat – tambahan satu atau dua peratus tenaga daripada kami dan penyokong pada Ahad nanti.”
Liverpool turut sempat menyindir United di media sosial minggu ini, mengingatkan tentang kemenangan 7-0 mereka ke atas seteru lama itu pada Mac 2023.
Ketika itu Mohamed Salah menjaringkan dua gol dan kini memiliki rekod hebat menentang United – menjaringkan gol dalam 10 daripada 11 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan dalam semua kejohanan.
“Namun, bintang Mesir itu kini mencari semula sentuhan jaringan – gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan liga terakhir dan hanya dua gol dalam tujuh penampilan musim ini.

Pemain baharu seperti Florian Wirtz dan Alexander Isak juga masih belum menyerlah, manakala benteng pertahanan Liverpool kelihatan goyah.
“Tak kira siapa lawan kami pada Ahad. Kalau dah kalah tiga kali berturut-turut dan anda memakai jersi LFC, anda mesti beri reaksi,” tambah Slot.
“Pemain sudah beri segalanya dalam setiap perlawanan, dari minit pertama hingga akhir. Dalam tiga perlawanan, kami ketinggalan dulu dan dua kali berjaya bangkit, tapi tetap tewas. Jadi reaksi diperlukan, bukan saja daripada Mo, tapi semua pemain.”
Florian Wirtz, khususnya, belum menonjol di Anfield.
Pemain berusia 22 tahun itu, yang dibeli dengan harga £100 juta (RM600 juta) daripada Bayer Leverkusen, masih belum mencatat sebarang gol atau bantuan jaringan dalam Liga Perdana dan malah tidak tersenarai dalam kesebelasan utama ketika tewas kepada Chelsea.
Prestasi Wirtz menjadi kebimbangan buat Slot, yang kini melalui tempoh paling sukar sejak mengambil alih pasukan.
Liverpool kini memerlukan inspirasi daripada pemain yang pernah menjaringkan 57 gol dan 65 bantuan jaringan dalam 197 penampilan bersama Leverkusen itu.
Manchester United, yang tidak pernah menang di Anfield sejak 2016, berjaya mencatat dua keputusan seri dalam dua kunjungan terakhir mereka.
Walaupun pasukan kendalian Ruben Amorim itu sedang terperangkap di pertengahan carta liga, mereka dijangka masih mampu mengeksploitasi kelemahan di barisan pertahanan tuan rumah.
“Saya sangat menantikan perlawanan menentang Manchester United. Saya tahu betapa istimewanya perlawanan ini,” kata Slot.
“Ia antara perlawanan paling banyak ditonton di dunia, jadi amat istimewa untuk terlibat. Kami mesti berada pada tahap terbaik. United sebenarnya bermula lebih baik daripada apa yang tertera di kedudukan liga, jadi ia akan jadi perlawanan yang menarik – lebih-lebih lagi di Anfield.
“Penyokong sentiasa memberikan sokongan. Kami perlu bersedia, dan saya yakin mereka juga akan bantu kami.”-AFP