
SIBU: Sarawak Energy Berhad (SEB) melalui anak syarikatnya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO) berjaya membongkar kegiatan mencuri elektrik di salah satu premis industri ringan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini baru-baru ini.
SEB dalam kenyataannya berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati premis berkenaan tidak mempunyai meter elektrik dan pengendalinya dikesan membuat sambungan haram bagi membekalkan tenaga kepada pelayan perlombongan mata wang kripto.

Hasil pemeriksaan turut menemui sambungan terus yang digunakan untuk menghidupkan 30 pelayan perlombongan dengan keadaan pendawaian yang berselirat dan tidak selamat sehingga menimbulkan risiko kebakaran.
Jurucakap SEB memaklumkan, kegiatan itu menyebabkan kerugian anggaran lebih RM13,000 sebulan daripada penggunaan elektrik yang tidak dibilkan.
“Semua peralatan yang digunakan telah dirampas dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik. Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun,” katanya.

SEB menegaskan, kes seperti ini semakin meningkat disebabkan aktiviti perlombongan mata wang kripto yang memerlukan penggunaan tenaga tinggi.
Katanya, ada pengendali yang sanggup mengambil jalan pintas dengan membuat sambungan tidak sah bagi menjimatkan kos, tanpa memikirkan risiko keselamatan kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling.
Pendawaian haram bukan sahaja boleh menyebabkan kebakaran, malah berpotensi merosakkan peralatan elektrik dan mengganggu kestabilan bekalan tenaga.

SEB turut bekerjasama dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) serta agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh tindakan terhadap kes kecurian elektrik.
Selain itu, kempen kesedaran awam juga giat dilaksanakan bagi menekankan bahaya dan akibat daripada perbuatan mencuri elektrik.
Orang ramai digesa melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan SEB di talian 1300-88-3111 atau melalui e-mel customercare@sarawakenergy.com.