
PUTRAJAYA: Kabinet hari ini menyarankan tiga langkah bagi menangani isu keselamatan di sekolah termasuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Beliau berkata larangan itu adalah bagi membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial serta permainan dalam talian yang sering menjurus kepada tingkah laku negatif termasuk kes buli dan jenayah di sekolah.
“Larangan penggunaan telefon pintar untuk umur 16 tahun ke bawah, penelitian masih dibuat tetapi banyak negara (yang) melaksanakan masih izinkan telefon untuk penggunaan anak-anak… tapi saya fikir kita harus tegas dalam hal ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus PPAM Seruling, Presint 5 di sini hari ini.
Anwar berkata Jemaah Menteri turut menyarankan agar pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mempertingkat pemantauan keselamatan di sekolah.
Beliau berkata Jemaah Menteri juga mencadangkan agar kandungan pendidikan ditambah baik dengan sokongan daripada ibu bapa serta Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu mengawal selain menerapkan nilai murni dan akhlak dalam kalangan pelajar.
“Dalam MADANI ditekankan soal nilai, akhlak dan pendidikan harus cemerlang tetapi harus diteliti… ramai yang terdedah dengan pendidikan Islam termasuk tahfiz dan agama tetapi kadang-kadang kesedaran, kefahaman itu tidak dihayati,” katanya.
Anwar juga berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan memberi penjelasan lebih terperinci dalam masa terdekat termasuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak sekolah, PIBG dan masyarakat.
“Saya harap semua pihak termasuk guru besar, pengetua, guru dan ibubapa dapat memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Kadangkala masalah timbul kerana salah faham atau keutamaan yang tidak selari,” katanya.- Bernama