
MIRI: Seramai 308 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dikerah ke seluruh negeri bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barangan terkawal sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025.
Pengarah KPDN, Matthew Dominic Barin, berkata daripada jumlah itu, 207 pegawai penguat kuasa dan 101 pegawai pemantau harga digerakkan ke lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah bagi meninjau pematuhan harga serta bekalan barangan keperluan.
“Selain pemeriksaan rutin, kami turut memantau sebarang ketidakpatuhan atau menyiasat aduan pengguna supaya tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut perundangan,” katanya selepas mengadakan lawatan mesra di Emart Riam, di sini, semalam.
Menurut Matthew, KPDN Sarawak turut mempertingkatkan kehadiran pegawai di lokasi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang selamat, beretika dan stabil sepanjang musim perayaan.
Beliau berkata, SHMMP Deepavali 2025 akan berkuat kuasa selama tujuh hari, iaitu empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
Sebanyak sembilan jenis barangan disenaraikan di bawah skim harga terkawal tahun ini termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah besar India, bawang merah kecil India (ros), bawang merah besar import dan kacang dal Australia.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii.
Oleh Liong Chai Ling