
KUALA LUMPUR: Isu keselamatan dan kebajikan pelajar menjadi tumpuan pada minggu pertama perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar susulan beberapa insiden membabitkan pelajar sekolah baru-baru ini.
Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sepakat supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan peruntukan berjumlah RM66.2 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi menangani kes membabitkan pelajar, memperkukuh kemahiran guru dan menaik taraf fasiliti sekolah.
Antara cadangan yang diketengah ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penambahbaikan sistem pemantauan disiplin, pelaksanaan semula hukuman rotan secara terkawal dan reformasi pendidikan bagi mengurangkan beban tugas pentadbiran sekali gus memastikan guru memberi tumpuan kepada tugas hakiki sebagai pendidik.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata terdapat keperluan untuk mengembalikan hukuman rotan sebagai usaha mendisiplinkan pelajar namun ia perlu dilaksanakan mengikut tatacara dan prosedur yang teratur.
Beliau berkata merotan terbukti sebagai langkah yang berkesan sejak dahulu lagi dan turut menyarankan agar guru yang ditugaskan untuk melaksanakan tindakan itu menjalani pemeriksaan psikologi bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.
Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) pula mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan sistem pemantauan berasaskan data bagi kes buli dan salah laku pelajar serta mewajibkan pengajaran modul empati dan ihsan di sekolah.
Beliau turut menggesa agar bilangan guru kaunseling dan pegawai psikologi dipertingkat dengan nisbah sekurang-kurangnya seorang kaunselor bagi setiap 200 pelajar bagi membendung gejala sosial yang semakin meruncing mutakhir ini.
Doris Sophia juga berkata terdapat lebih 3,000 kes buli direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara 2022 hingga 2024, dengan hampir 60 peratus daripadanya berlaku di sekolah serta melahirkan kebimbangan terhadap 400 kes cabul dan rogol melibatkan remaja bawah umur yang direkodkan pada tahun lepas sahaja.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) pula mencadangkan pemasangan CCTV di sekolah serta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang mempunyai kaitan dalam kes jenayah di sekolah termasuk warden dan pengetua.
Beliau menggesa kerajaan agar lebih tegas menguatkuasakan dasar ‘you touch, you go’ dalam menangani kes buli di sekolah termasuk melaksanakan tindakan segera mendakwa pesalah sebagai isyarat bahawa jenayah buli tidak akan mendapat sebarang toleransi.
Selain itu, Rodziah Ismail (PH-Ampang) mencadangkan agar KPM membentuk Pasukan Petugas Beban Guru dan Keselamatan Sekolah termasuk mewujudkan sistem tunggal pendidikan digital nasional yang mengintegrasikan setiap laporan supaya tidak bertindih dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.
Yeo Bee Yin (PH-Puchong), yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat, pula berkata pihaknya akan memanggil KPM dan PDRM untuk sesi pendengaran jawatankuasa itu sebelum membentangkan penyata mengenai keselamatan sekolah di Parlimen.
Semasa pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan berjumlah RM66.2 bilion kepada KPM berbanding RM64.2 bilion tahun ini, dengan mutu prasarana sekolah kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.
Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan peringkat dasar akan berlangsung selama lapan hari hingga 28 Oktober ini manakala perbahasan peringkat jawatankuasa pula dijadualkan selama 14 hari bermula 5 hingga 27 November.
Belanjawan 2026, yang bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat, akan mengumpul dan mengoptimumkan sumber negara termasuk dana Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan dan syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lepas.
Perdana Menteri berkata angka itu meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan Persekutuan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta, dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini.- Bernama