
SIMANGGANG: Kepentingan kerjasama erat antara Tuai Rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ditekankan sebagai faktor utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sampai secara berkesan kepada penduduk rumah panjang di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata peranan JKKK sebagai tulang belakang pentadbiran rumah panjang bukan sahaja melibatkan pengurusan hal ehwal komuniti, malah bertindak sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat.
“JKKK dan Tuai Rumah mesti bekerjasama rapat. Kepimpinan di peringkat akar umbi perlu kuat, tersusun dan proaktif agar segala agenda pembangunan kerajaan dapat difahami serta dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) yang diadakan di Rumah Siliver Garit, Kampung Kenyungan, Batu Lintang, Undop, di sini hari ini.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang dalam majlis yang sama turut merasmikan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) melibatkan naik taraf jalan akses dan parit di sekeliling rumah panjang.

Harden berkata ia kini telah memberi keselesaan dan kemudahan lebih baik kepada penduduk, dan projek ini dibiayai melalui peruntukan kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Mengenai Program Pembangunan Komuniti MDSA, ia berfungsi sebagai platform memperkukuh sistem penyampaian maklumat dan perkhidmatan kerajaan, terutama di kawasan pedalaman.
Ia membolehkan penduduk mengetahui perkembangan dasar baharu, kemudahan yang disediakan agensi kerajaan, serta ruang untuk menyuarakan permasalahan setempat.
Pelbagai pengisian turut diadakan, termasuk ceramah pencegahan penyakit rabies (Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman); taklimat pelesenan kedai runcit (MDSA); ceramah jenayah siber (Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman) dan ceramah pencegahan kebakaran (Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman).
Bagi memperkukuh pengurusan komuniti, Harden mengumumkan beberapa peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun 2026, antaranya RM5,000 kepada JKKK Kampung Kenyungan; RM3,000 kepada Biro Wanita dan RM2,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Undop Tengah.
Beliau berharap peruntukan ini dapat dimanfaatkan untuk kegiatan komuniti, pembangunan sosial dan memperkukuh kepimpinan akar umbi demi kesejahteraan penduduk rumah panjang.
Oleh Adi Safarman