Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Influenza: Keputusan tutup sekolah bukan hanya bersandarkan jumlah kes – Dzulkefly
  • KESIHATAN

Influenza: Keputusan tutup sekolah bukan hanya bersandarkan jumlah kes – Dzulkefly

Utusan Sarawak 1 day ago

MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Keputusan menutup sekolah atau mana-mana institusi pendidikan susulan penularan wabak influenza bukan hanya berdasarkan bilangan kes atau wabak tetapi juga melibatkan penilaian risiko kesihatan awam oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata faktor lain yang turut diambil kira ialah kadar serangan penyakit dalam kalangan murid, ketidakhadiran murid dan guru, bukti penularan aktif dalam komuniti dan keupayaan pihak sekolah melaksanakan langkah-langkah kawalan.

“Semua aspek ini dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pendekatan kawalan termasuk penutupan sementara sekolah secara bersasar boleh dilaksanakan melalui perbincangan dan kerjasama antara pihak PKD dan sekolah, mengikut prosedur dan penilaian risiko semasa,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung nilai ambang untuk menutup sekolah berikutan penularan wabak.

Menjawab soalan asal Suhaizan mengenai tahap keseriusan kes influenza di seluruh negara serta kesan terhadap institusi pendidikan, Dzulkefly memaklumkan bahawa setakat ini, sekolah dan tadika mencatatkan jumlah kes jangkitan influenza yang tertinggi.

Beliau berkata berdasarkan jumlah kumulatif sejak Minggu Epidemologi (ME) 1/2025 hingga ME 41/2025, premis sekolah merekodkan sebanyak 352 kes atau 65.8 peratus diikuti tadika dengan 96 kes (17.9 peratus) manakala institusi/kolej mencatatkan 35 kes (6.5 peratus).

Dzulkefly berkata premis rumah persendirian pula mencatatkan 33 kes (6.2 peratus) diikuti pusat jagaan dengan enam kes (1.1 peratus), kluster di tempat kerja pula sebanyak10 kes (1.9 peratus) manakala penjara merekodkan tiga kes (0.6 peratus).

Beliau berkata secara keseluruhan, bilangan kluster jangkitan di institusi pendidikan meningkat daripada lapan kluster pada ME 39 kepada 111 pada ME 40, sebelum mencecah angka 202 pada ME 41 manakala pada ME 42 iaitu dari 12 hingga 18 Okt ini, bilangan kluster adalah 56 dan dijangka menunjukkan trend penurunan.

“Sekolah menengah mencatatkan bilangan kluster tertinggi, meningkat daripada satu pada ME 39 kepada 47 pada ME 40, dan mencapai 65 pada ME 41, sementara sekolah rendah menunjukkan pola sama dengan kluster meningkat daripada tiga pada ME 39 kepada 26 pada ME 40, dan mencecah 72 pada ME 41.

“Institusi lain seperti kolej vokasional, sekolah swasta dan taska turut mencatatkan peningkatan kluster dalam tempoh yang sama,” katanya.

Mengulas mengenai kematian dua pelajar, masing-masing di Sarawak dan Terengganu, yang dijangkiti influenza A, Dzulkefly berkata punca sebenar kematian masih dikenal pasti. – Bernama

Continue Reading

Previous: Akses vaksin influenza perlu diperluas tangani lonjakan kes – MPS
Next: Kempen derma darah Sabtu ini di Star Mega Mall

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.