Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Sebab Sarawak perlu autonomi sektor pendidikan, kesihatan
  • KOLUMNIS

Sebab Sarawak perlu autonomi sektor pendidikan, kesihatan

Utusan Sarawak 3 days ago

APABILA Sarawak menuntut diberi autonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan, bermakna berlaku banyak kelompongan dalam dua sektor itu di negeri ini yang gagal ditangani sebaik mungkin.

Umum mengetahui isu kekurangan doktor dan guru, yang kelihatan amat sukar untuk diatasi,memerlukan penelitian lanjut kepada sistem diguna pakai yang mungkin jadi punca sebenar masalah yang berlarutan tanpa noktah ini.

Sebagai contoh, beri keutamaan kepada guru anak Sarawak kerana akhirnya atau selepas tiga tahu, sebahagian guru dari Semenanjung akan minta pindah balik ke negeri asal.

Kitaran ini akan terus berlaku, kerana sifat manusia yang mahu kembali bertugas di kampung asal atau sekolah berdekatan setelah berjauhan dalam tempoh tertentu.

Bukan salah mereka, meskipun tidak dinafikan sesetengahnya ‘jatuh cinta’ untuk terus berkhidmat di Sarawak, malah ada juga yang terus berkahwin di Bumi Kenyalang.

Begitu juga kisahnya dengan pegawai perubatan yang akan minta perpindahan setelah tempoh matang untuk berbuat demikian.

Kini terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan di Sarawak. Gambar hiasan.

Tidak dinafikan Sarawak masih kekurangan doktor, dan cara terbaik bagi pelan jangka panjang ialah membuka fakulti perubatan di universiti dan kolej milik kerajaan Sarawak di negeri ini. 

Unimas hanya melahirkan kira-kira 150 doktor setahun. Jika semua kekal berkhidmat di Sarawak sekalipun, negeri ini masih berdepan masalah untuk menampung kekurangan sedia ada. Itu pun kalau tiada yang berhijrah.

Bagaimanapun, timbul juga masalah keengganan untuk diminta bertugas di Sarawak dan Sabah.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian baru-baru ini mendedahkan hampir 300 pegawai perubatan yang ditawarkan jawatan di Sarawak, gagal melapor diri untuk bertugas menjelang 1 Oktober lalu.

TIDAK LAPOR DIRI

Katanya, Kementerian Kesihatan telah menempatkan seramai 542 doktor di Sarawak, namun 293 orang tidak hadir untuk melapor diri.

Beliau turut memaklumkan bahawa ketika ini terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan di negeri ini.

“Kami telah memohon 650 calon bagi mengisi kekosongan tersebut, tetapi hanya 542 diberikan. Daripada jumlah itu, hanya 249 orang melapor diri, manakala sekitar 54 perarus tidak berbuat demikian.

“Ini bermakna jumlah doktor yang tidak melapor diri lebih ramai daripada yang hadir bertugas,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Sebelum ini, Dr Sim pernah menyatakan bahawa tujuh hospital awam di negeri ini kekurangan kira-kira 11,000 tenaga kerja kesihatan, termasuk lebih 1,100 pegawai perubatan. Angka ini berdasarkan anggaran Kementerian Kesihatan selepas lawatan oleh pasukan sumber manusia pada Julai lalu.

Kerajaan Sarawak pula dijangka mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi bagi membincangkan isu kekurangan lebih 11,000 petugas kesihatan di negeri ini serta keperluan memberikan autonomi kepada Sarawak dalam pengambilan doktor dan jururawat.

Mesyuarat itu akan diadakan di bawah Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.

Kata sepakat perlu dicapai antara Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan serta kerajaan Sarawak.

“Jika Kerajaan Persekutuan tidak dapat melaksanakannya, beri kuasa kepada Sarawak untuk ambil petugas sendiri.

“Sebab itu, autonomi kesihatan bukan soal politik, tetapi keperluan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan di Sarawak setara dengan Semenanjung,” kata Dr Sim.

PERLU KUASA PENGAMBILAN

Menurur Dr Sim lagi, kerajaan Sarawak bersedia menampung kekurangan pegawai perubatan sekiranya kuasa pengambilan diberikan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), bagi memastikan keperluan tenaga kerja kesihatan dapat dipenuhi secara menyeluruh.

“Akhirnya, rakyat Sarawak yang menanggung akibat jika isu ini tidak diselesaikan,” katanya.

Begitu juga sektor pendidikan bukan sahaja isu kekurangan guru, malah sekolah daif.

Setakat Julai 2024, Sarawak mempunyai 555 sekolah daif termasuk 361 sekolah tahap enam iaitu tidak sesuai digunakan dan 194 berada pada skala tujuh iaitu tidak selamat digunakan.

Kerajaan Sarawak mampu memperbaikinya tetapi itu kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan. Mengikut perlembagaan, pembinaan, baikpulih dan penyelengaraan sekolah adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat.

Dari dahulu hingga sekarang, masalah kekurangan guru di Sarawak bagaikan tiada nokhtah. 

Cabaran guru di pedalaman Sarawak. Gambar hiasan

Saban tahun kedengaran isu ini. Ia bagaikan mimpi ngeri bagi anak Bumi Kenyakang. 

Kita akui  pelbagai inisiatif dilakukan dan diperkenalkan Kementerian Pendidikan untuk mengatasi isu kekurangan guru, tetapi pada masa sama, rakyat Sarawak terfikir apakah KPM benar-benar serius dalam isu ini? 

Ini berikutan tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) tahun lalu secara tiba-tiba ‘membuka pintu’ untuk permohonan seluruh negara inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak, sedangkan asalnya dijanjikan hanya untuk anak negeri ini.

Jika ini terus dilakukan, sampai bila masalah kekurangan guru di Sarawak akan selesai? 

MINTA PINDAH

Beratus guru bersara saban tahun di negeri ini, tetapi pada masa sama puluhan, jika tidak mencecah angka ratusan, guru meminta berpindah balik ke Semenanjung. 

Kitaran ‘minta pindah’ ini akan berterusan dan perlu penyelesaian secara tuntas, antaranya lantik guru asal Sarawak berkhidmat di Sarawak. 

Setakat Julai 2024, Sarawak mempunyai 555 sekolah daif. Gambar Bernama.

Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pernah meluahkan rasa kecewa apabila janji SPP untuk mengutamakan pengambilan guru latihan dari Sarawak tidak ditunaikan.

Beliau berkata, pada awalnya SPP telah memberi jaminan bahawa pengambilan guru baharu akan mengutamakan calon-calon dari negeri Sarawak.

Namun demikian, jaminan tersebut ternyata tidak terpakai apabila pengambilan juga dibuka kepada calon dari Semenanjung Malaysia.

“Ini bermakna ia (perjanjian) tidak ditunaikan. Keutamaan yang diberikan kepada anak Sarawak ini adalah supaya tiada isu timbul berhubung guru dari Semenanjung Malaysia yang meminta perpindahan selepas beberapa tahun berkhidmat di negeri ini.

“Kadangkala mereka yang berkhidmat di Sarawak selama dua tahun akan meminta pindah ke Semenanjung (Malaysia).

“Jika anak Sarawak yang mengajar di sini, mereka hanya akan minta perpindahan ke tempat lain dalam negeri ini sendiri, seperti Dalat ke Sarikei,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Lundu pada Oktober tahun lalu.

Sarawak mempunyai sejumlah kira-kira 1,457 sekolah iaitu 1,265 sekolah rendah dan 192 sekolah menengah. Difahamkan, sehingga 30 April 2023 jumlah guru bagi sekolah di Sarawak adalah 43,285 orang.

Setakat 30 September 2024, jumlah kekosongan guru di Sarawak adalah seramai 2,229 orang iaitu terdapat 1,906 kekosongan guru sekolah rendah dan 323 kekosongan guru sekolah menengah. 

Jumlah ini bukan sedikit, dan boleh menganggu prestasi akademik pelajar khususnya di sekolah-sekolah pedalaman negeri ini.

Pada awal 2023, Putrajaya dilaporkan pada dasarnya bersetuju memberi kuasa autonomi dalam sektor pendidikan dan kesihatan di Sarawak. 

Mungkin sudah tiba masanya, Kerajaan Pusat menyerahkan autonomi pendidikan kepada Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Autonomi antara lain bermaksud, Sarawak sendiri menguruskan hal pembangunan sekolah dan masalah kekurangan guru tetapi dana terus dibiayai Kerajaan Pusat. 

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Continue Reading

Previous: PRN Sabah : Dinamika kuasa, isu rakyat dan masa depan kepimpinan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.