Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Sajak, kanvas kata: Penyair melukis pemikiran dan perasaan
  • WBS

Sajak, kanvas kata: Penyair melukis pemikiran dan perasaan

Utusan Sarawak 1 week ago

BIMBINGAN kali ini akan memberi tumpuan kepada tiga sajak yang telah disiarkan dalamruangan ini pada minggu lalu, berjudul “Membebaskan Rasa daripada Kepompong Itu” (Azia Nur), “Hilangmu Deritaku” (Nurul Aisyah) dan “Pulang” (Maya Sona). Tahniah diucapkan kepada ketiga-tiga penyajak yang karyanya menembusi dada akhbar. Sudah tentu ini menjadi sebahagian daripada  pencapaian peribadi  yang  diharapkan akan menjadi suntikan untuk terus berkarya.

Dalam menukangi sajak, pemikiran dan perasaan ialah dua unsur teras yang menjadikan karya itu hidup, bermakna dan menyentuh hati pembaca. Secara umumnya, pemikiran merujuk kepada isi, gagasan atau falsafah yang ingin disampaikan penyajak. Dalam bahasa yang ringkas, pemikiran dalam sajak menjawab persoalan “apa yang ingin diperkatakan?”

Kewujudan aspek pemikiran, menjadikan sajak bukan sekadar luahan atau luapan rasa tetapi menjadi wahana ilmu, nasihat dan renungan kehidupan. Contohnya, sajak tentang alam boleh membawa pemikiran tentang kelestarian, kesyukuran atau kebesaran Tuhan. Tanpa pemikiran, sajak jadi kosong. Boleh jadi bunyinya indah tetapi tiada arah makna.

Perasaan pula ialah getar emosi dan kejujuran hati penyajak. Rencah rasa dalam sajak menjadikan bahasa ‘bernyawa’ dan mampu menyentuh jiwa pembaca.

Perasaan boleh berupa cinta, rindu, marah, kecewa, kagum atau pasrah (sekadar menyebut beberapa contoh) yang diterjemahkan melalui stilistika bahasa dan diksi yang indah serta persis. Tanpa perasaan, sajak tidak ubah sekadar susunan kata tanpa roh atau jiwa. Kaku!

Sajak yang baik memiliki keseimbangan pemikiran dan perasaan. Maknanya, adunan akal dan rasa hadir secara sedar pada setiap baris dalam sajak. Pemikiran yang matang disampaikan melalui perasaan yang tulus.

Adunan ini melahirkan karya yang mendidik minda dan menjentik jiwa pembaca dalam masa yang sama. Inilah yang dapat membezakan sajak biasa dengan sajak yang mempunyai kualiti tersendiri.

Pendek kata, dalam penghasilan sajak, pemikiran memberi arah manakala perasaan memberi nyawa kepada ‘muatan atau adunan’ sajak secara keseluruhannya.

Bagi memperdalam penelitian kita, ada baiknya kita merenung ungkapan beberapa orang Sasterawan Negara tentang adunan pemikiran dan perasaan dalam sajak. Usman Awang pernah menyebut, “puisi lahir daripada hati yang jujur dan perasaan yang murni”.

Maksudnya, sajak bukan semata-mata susunan kata tetapi luahan jiwa yang tulus ikhlas. Keikhlasan perasaan penyajak mampu mencetuskan keindahan.

Begitu pula, Muhammad Haji Salleh menyebut, “puisi ialah sejarah batin bangsa, yang menyimpan pemikiran dan perasaan zaman.” Puisi menjadi cermin jiwa masyarakat, merakam cara berfikir dan berperasaan menjadikan sajak sebagai warisan pemikiran bangsa yang diungkap dengan indah.

Dalam nada yang sama, Kemala merujuk “puisi sebagai nyalaan nurani, lidah jiwa yang menuturkan kebenaran dan kasih.” Ungkapan dan pandangan ini membawa kita kepada satu rumusan yang jelas, iaitu puisi (dalam konteks ini ialah sajak) merupakan gabungan pemikiran yang tajam dan perasaan yang mendalam, bukan sekadar seni bahasa tetapi cerminan jiwa, garapan nilai dan keindahan akal budi.

Setelah meneliti konsep pemikiran dan perasaan dalam sajak, sekarang bolehlah kita memulakan meneliti kehadiran kedua-dua aspek ini dalam sajak-sajak yang kita bicarakan dalam ruangan ini. Mari kita mulakan dengan  “Membebaskan Rasa daripada Kepompong Itu”.

Sajak ini mempunyai inti yang kuat. Kita dapat membayangkan imej kepompong → derita → kelahiran → metamorfosis menjadi rama-rama. Antara kekuatan sajak ini ialah tema yang jelas dan universal sifatnya.

Kepompong dapat dikaitkan dengan pembebasan. Kata-kata yang digunakan ekonomis sifatnya; pendek dan padat. Hal ini memberi ruang yang luas untuk imejan berkembang. Berikut ialah sajak yang ditukangi oleh Azia Nur.

Tiada pesona

di dalam kepompong ini

sendat terkurung

merenggut damai

cuma tangisan nan tertahan

menggelupur ingin lepas

sebelum samar cahaya hati

terus terpadam

kudrat kecil merobek

derita yang membalut

untuk terlahir indah

bebas terbang menjadi rama-rama.

Sajak ini sudah mempunyai asas pemikiran dan emosi yang kuat, iaitu berpusat pada perjuangan untuk keluar daripada belenggu penderitaan demi kebebasan dan keindahan diri yang sebenar melalui simbol “rama-rama”.

Namun, bagi memantapkan aspek pemikiran, mari kita analisis dan tingkatkan perkara seperti makna berlapis, falsafah hidup dan keutuhan idea.

Pemikiran asas yang dapat dikesani ialah tentang tema kebebasan jiwa daripada penderitaan dan keterikatan. Kepompong dipilih sebagai simbol kepada belenggu, trauma, derita atau batas diri (mungkin juga pelbagai kemungkinan lain).

Manakala rama-rama boleh dikaitkan dengan kelahiran baharu, kebebasan, keindahan atau kematangan rohani. Gagasan ini sudah kukuh tetapi masih boleh dilapisi dengan falsafah hidup dan renungan dalaman agar lebih mendalam.

Bagi menambah kedalaman makna tanpa menjejaskan keindahan asal, cadangan penambahbaikan ini boleh diberi perhatian.

Pertama; selitkan persoalan atau renungan diri. Sajak yang hebat bukan sekadar menggambarkan perjuangan tetapi juga ‘mengentalkan’ makna di sebaliknya dengan memperluas ruang agar pembaca terpanggil untuk berfikir dan merenung. Atau dengan kata lain menjadikan pemikiran lebih falsafah sifatnya.

Perhatikan kesannya jika kita sisipkan baris ini “apakah derita ini ujian/atau pintu menuju sinar” dalam baris-baris “kudrat kecil merobek/derita yang membalut/untuk terlahir indah/bebas terbang menjadi rama-rama”. Bukankah penambahan dua baris yang ekonomis ini menjadikan pemikiran tentang derita lebih berfalsafah?

Kedua; tingkatkan peralihan daripada derita kepada makna hidup. Dalam sajak ini perubahan emosi berlaku, iaitu daripada terkurung kepada bebas. Namun,  apa akan terjadi jika dikuatkan dengan kesedaran baharu?

Bandingkan antara “kudrat kecil merobek derita/kerana hanya luka yang melahirkan cahaya” dengan sajak asal “kudrat kecil merobek/derita yang membalut/untuk terlahir indah/bebas terbang menjadi rama-rama”.

Bukankah pembaca dapat meneroka perspektif baharu dan berfikir bahawa penderitaan sebenarnya bukan sekadar penghalang tetapi dapat menjadi guru kehidupan. Inilah yang dikatakan falsafah yang lebih matang.

Ketiga; gunakan simbol “kepompong” dan “rama-rama” secara lebih konseptual. Maknanya, daripada sekadar transformasi fizikal, ia boleh dijadikan metafora kerohanian atau keinsafan. Misalnya “di dalam kepompong doa/aku belajar menunggu takdir berbunga”. Bukankah ini dapat menambah nilai pemikiran spiritual dan reflektif?

Kesannya, tema perjuangan pembebasan diri lebih bermakna dengan pemikiran konseptual tentang pembebasan yang dikaitkan dengan kerohanian dan kesedaran diri. Penggunaan simbol “kepompong” dan “rama-rama”     juga boleh diperluas lagi menjadi lambang perjalanan jiwa.

Pemikiran tentang harapan dan perjuangan pula diperteguh dengan falsafah bahawa “penderitaan melahirkan kekuatan”. Penambahbaikan ini turut menjadikan nada sajak menjadi lebih lembut dan jujur membolehkan keseluruhan sajak ini bersifat lebih reflektif dan matang serta ‘berperasaan’.

Kita beralih kepada sajak “Hilangmu Deritaku” karya Nurul Aisyah binti Saidin. Sebenarnya sajak ini sudah indah dari segi emosi dengan nukilan tentang kesetiaan dan rasa kehilangan yang mendalam.

Namun, untuk meninggikan nilainya dari segi pemikiran dan perasaan kita boleh memperkukuh beberapa aspek lagi supaya sajak ini bukan sekadar rintihan semata-mata. Sebaliknya dapat menjadi renungan tentang erti kehilangan dan sikap kebergantungan dalam hidup.

Beberapa kekuatan sajak ini jelas, seperti bahasa yang lembut dan mudah difahami serta penggunaan simbol alam, iaitu “pokok”, “bulan” dan “hujan” yang indah. Selain itu, kita dapat mengesani wujudnya kesinambungan emosi daripada perlindungan → kehilangan. Hayati setiap baris dalam sajak ini:

Sewaktu aku mencari dahan

untuk berpaut hilangkan derita

engkau muncul sebagai pokok melindungiku.

Setiap kali aku ingin hilang

tangan engkau aku sambut

lalu lukaku sembuh dengan pantas.

Apabila aku kedinginan ditimpa hujan

engkau menjadi pokok kecil

sebagai tempat aku berteduh.

Ketika aku jatuh terduduk

engkau menjelma sebagai bulan,

sentiasa menerangi aku.

Apabila engkau menghilangkan diri dariku

duniaku hancur

dahanku patah, pondok aku roboh

dan bulanku tidak muncul lagi.

Bagi menguatkan sajak ini, apa kata kita bincangkan bagaimana penambahbaikan dari aspek pemikiran dapat dilakukan. Ini termasuklah menyelitkan renungan falsafah tentang kehilangan iaitu bukan sekadar kesedihan tetapi kesedaran bahawa kehilangan juga mendewasakan sekali gus mendidik jiwa seseorang menjadi lebih kuat.

Sajak ini juga boleh menjadi lebih bermakna sekiranya aspek perlambangan atau simbol diperluas. Contohnya, “pokok” bukan sekadar pelindung tetapi juga lambang kekuatan hidup; “bulan” bukan sekadar teman tetapi cahaya kepada jiwa yang hilang.

Ungkapan seperti ini dapat menimbulkan kesedaran diri kepada pembaca bahawa pada hakikatnya selepas kehilangan bukan hanya kehancuran yang akan kita kecapi. Sebaliknya tersisip hikmah yang besar yang perlu direnung dan diinsafi.

Selain itu, ‘muatan’ perasaan dalam sajak ini boleh dimantapkan lagi supaya berupaya meningkatkan impak kepada emosi pembaca. Penyajak boleh menggunakan imej yang lebih halus dan berlapis serta mengelakkan pernyataan secara langsung.

Rentak dan intensiti emosi juga boleh dipelbagaikan: bermula tenang, dibelit pilu dan akhirnya reda atau sedar. Suara batin juga boleh ditambah bagi menggugah pemikiran pembaca dan mendorong refleksi kendiri tentang mengapa kehilangan itu menyakitkan.

Bandingkan sajak asal yang dimuatkan pada awal perbincangan sajak ini dengan sajak yang ditambah baik ini: “Sewaktu aku mencari dahan/ untuk berpaut dari badai derita/engkau tumbuh/sebagai pohon.

Setiap kali aku ingin rebah/tanganmu menjelma dari cahaya/menyambut luka yang tak sempat kering/lalu aku belajar erti pulih. Saat hujan memukul dingin/engkau menjadi pondok kecil/yang mengajarku makna”.

Manakah baris-baris yang lebih kuat ajakan untuk kita berfikir dan merenung secara lebih mendalam? Adakah sajak yang ditambah baik ini lebih mengasak perasaan anda?

Seterusnya kita akan membicarakan sajak terakhir, iaitu “Pulang” yang juga mempunyai kekuatan tersendiri. Amati dahulu sajak Maya Sona ini:

Dari kejauhan

kulirik candamu

bebas berterbangan

kicau bersahutan

kau tebar drama alam

di balik teduhnya mega

mengusik rindu

mengintai kembali jejak
yang pernah bernafas
dalam detik lalu

pernah seindah ini.

Bebas seadanya

pernah kudambakan

namun waktu berlalu

bagai arus terus mengalir

mengingatkan perjalanan pulang

kian mendekat.

Mindaku tersandar

saat mencari teduh

separuh hati  retak
separuh jiwa rapuh
kelak hanyalah sejarah

yang membenam erat

dalam lipatan riwayat.

Bukan lagi pilihan
kepasrahan menemui diri
dalam pelukan abadi

dalam dakapan waktu
yang tak pernah pergi.

Aku akan pulang

aku pasti pulang

kudakap diriku erat

digenggam nuansa redha.

Tema puisi ini ialah “kepulangan” yang dapat sahaja dimungkinkan sebagai pulang ke asal usul diri, kampung halaman atau tempat tertentu mahupun berpulang ke alam abadi.

Wujudkah garis merah yang jelas dalam naratif sajak ini agar pembaca dapat merasai perjalanan itu lengkap? Apakah yang dapat kita renungkan secara mendalam setelah menikmati sajak ini?

Sejauh mana perasaan kita dijentik oleh bait-bait sajak ini? Persoalan seperti ini akan menjawab sejauh mana kehadiran aspek pemikiran dan/atau perasaan dalam sajak yang dibaca.

Hakikatnya, sajak “Pulang” karya Maya Sona ini mempunyai keindahan dan kematangan tersendiri. Rangkap demi rangkap kaya dengan suasana kerinduan yang mengusik nostalgia, renungan hidup dan kesedaran tentang perjalanan pulang sama ada kepulangan secara fizikal mahupun rohani.

Sajak ini nostalgik dan introspektif sifatnya serta menyerlahkan renungan diri yang baik oleh penyajak. Imej alam seperti “mega” dan “arus” serta personifikasi “dakapan waktu” dan “digenggam nuansa reda” digunakan dengan sewajarnya. Bahagian akhir sajak ini juga membawa nada ketenangan dan penerimaan yang menyentuh jiwa.

Bagi menjadikannya lebih kuat daripada aspek pemikiran dan perasaan, kita boleh memperdalam falsafah “pulang” dan memperkukuh emosi agar lebih menyentuh batin pembaca.

Pertama; aspek pemikiran (falsafah dan gagasan) yang pada asalnya merujuk “pulang” sebagai perjalanan kembali kepada asal (mungkin kepada Tuhan atau kembali kepada diri sendiri) diperluas maknanya.

Bagi tujuan itu, boleh tambahkan renungan tentang erti “pulang”, iaitu bukan sekadar kembali secara jasmani tetapi juga sebagai perjalanan batin menuju kedamaian dan keinsafan.

Sampaikan kenyataan sebenar kepada pembaca bahawa pulang bukan pengakhiran, tetapi penemuan makna sebenar kehidupan atau permulaan kepada sesuatu yang baharu: “Pulang bukan sekadar menamatkan langkah/tapi menyatukan jiwa dengan waktu yang pernah tertinggal”.

Kedua; dari aspek perasaan, penyajak boleh menggunakan emosi yang berlapis: rindu → kesedaran → pasrah → reda. Boleh mula dengan imejan “perjalanan jauh”, berkembang pada “persinggahan luka dan rindu” dan tamat dengan “kepulangan yang reda”.

Beberapa ungkapan boleh diteliti lagi agar lebih halus dan mendalam. Misalnya baris “kau tebar drama alam” boleh diganti dengan sesuatu yang lebih reflektif dan lembut misalnya “kau hampar takdir langit”.

Baris “bagai arus terus mengalir” pada rangkap kedua misalnya boleh dikembangkan menjadi “bagai arus sungai yang tak henti mencari laut”. Ungkapan ini akan menjadi lebih ‘figuratif’ gambarannya dan menyentuh perasaan.

Ringkasnya, sajak yang sudah sedia indah dari awal ini perlu memperdalam lapisan makna bagi menjadikan “pulang” bukan sekadar destinasi tetapi kesedaran rohani yang mendamaikan jiwa.

Penggunaan citra alam yang lebih konsisten seperi kata “langit, sungai, angin, cahaya, senja” boleh menjadikan puisi lebih berlapis. Selain itu, akhiran sajak perlu lebih memukul jiwa, bukan sekadar pengulangan.

Bandingkan rangkap akhir “Aku akan pulang/aku pasti pulang/kudakap diriku erat/digenggam nuansa redha” dengan “Aku pulang/dalam suluhan cahaya/diriku digenggam/reda semesta.” Dapatkah dirasakan perbezaan kedua-dua versi ini?

Sebagai rumusan kepada penelitian terhadap aspek pemikiran dan muatan perasaan dalam ketiga-tiga puisi ini, kita dapat memahami bahawa antara sifat sajak yang bermakna ialah yang memiliki gabungan kepekaan akal, emosi dan renungan mendalam terhadap sesuatu isu atau pengalaman.

Pemikiran dalam sajak boleh dihadirkan melalui beberapa langkah termasuklah memahami dan menghayati tema secara mendalam, mengembangkan gagasan secara logik dan berlapis, menyelitkan unsur renungan dan falsafah, menggunakan bahasa yang mencabar pemikiran pembaca serta menonjolkan nilai-nilai keinsafan dan kemanusiaan.

Sajak yang telah siap, hendaklah dibaca semula sambil bertanyakan soalan “apa yang pembaca dapat fikirkan selepas membaca sajak yang kita hasilkan?”.

Memantapkan aspek perasaan dalam sajak pula merupakan seni menyelam ke dalam jiwa sendiri; bukan sekadar menulis apa yang difikirkan tetapi juga apa yang dirasai, dihayati dan dilalui.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan termasuklah menulis sajak daripada pengalaman atau hati yang pernah ‘merasa’, menggunakan imej dan simbol yang menggugah jiwa dengan menyatakan perasaan melalui gambaran (bukan penyataan langsung), menggunakan irama dan nada yang selari dengan emosi, menyaring diksi yang ‘bernyawa’ serta mengakhiri sajak dengan sesuatu yang menggambarkan kejernihan jiwa.

Oleh Dayang Azizah Mohd Salleh

Continue Reading

Previous: Menyulam Harapan di Tanah Dara
Next: Lelap

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.