Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Kevin Lau gesa Kementerian Pendidikan semak semula dasar selepas kes buli dan rogol di sekolah
  • PENDIDIKAN

Kevin Lau gesa Kementerian Pendidikan semak semula dasar selepas kes buli dan rogol di sekolah

Utusan Sarawak 1 day ago
KEVIN Lau Kor Jie

SIBU: Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kaunselor Kevin Lau Kor Jie menggesa Kementerian Pendidikan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara susulan beberapa insiden serius di sekolah termasuk kes buli, rogol beramai-ramai dan tikaman yang mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Lau berkata, semua kejadian tersebut membuktikan betapa mendesaknya keperluan bagi kementerian menilai semula dasar dan pendekatan semasa yang dilihat semakin jauh daripada nilai moral dan sosial yang perlu diterapkan dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, pendirian kementerian menunjukkan satu jurang yang membimbangkan daripada realiti moral dan sosial yang dihadapi oleh para pendidik dan keluarga, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang nilai-nilai yang sedang dijunjung oleh sistem pendidikan kita.

“Apabila pihak berkuasa pendidikan negara kelihatan lebih bimbang terhadap hak peperiksaan pelaku yang dituduh daripada kesejahteraan emosi dan psikologi mangsa, jelas ada sesuatu yang tidak kena. Ini bukanlah Malaysia yang kita mahu bina,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyifatkan sebagai amat mengejutkan apabila kementerian bersikap ‘pekak tuli’ dengan membenarkan empat pelajar yang dituduh melakukan rogol beramai-ramai menduduki peperiksaan awam walaupun siasatan masih dijalankan.

Katanya, menteri berkenaan mungkin terdorong oleh keprihatinannya terhadap masa depan akademik keempat-empat pelajar itu, namun keprihatinan tersebut sepatutnya disampaikan dengan cara yang lebih berhemah.

“Reaksi marah ibu bapa dan pendidik terhadap cara Kementerian Pendidikan menangani kes tersebut mencerminkan kekecewaan mendalam yang telah lama terpendam terhadap keutamaan kementerian yang tersasar.

“Selama bertahun-tahun, ibu bapa dan guru telah mengeluh bahawa kementerian semakin hilang sentuhan terhadap perkara yang benar-benar penting membentuk sahsiah moral, tanggungjawab sivik dan kecerdasan emosi.

“Sebaliknya, tumpuan seolah-olah hanya kepada memenuhi sasaran birokrasi serta mengeluarkan dasar demi dasar yang hanya menambah kekeliruan dan rasa kecewa,” katanya.

Lau berkata, tujuan utama pendidikan bukan sekadar menghasilkan keputusan peperiksaan, tetapi melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan beretika.

“Tindakan membenarkan pelajar tertuduh menduduki peperiksaan awam menunjukkan bahawa kompas moral kementerian perlu disemak semula dengan segera,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa insiden ini bukan kesilapan terpencil, sebaliknya tanda kepada hala tuju kementerian yang telah lama menyimpang.

“Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kita menyaksikan keyakinan terhadap sistem pendidikan negara semakin terhakis.

“Ibu bapa semakin hilang kepercayaan. Ramai yang memilih sekolah swasta atau antarabangsa kerana percaya sekolah kebangsaan tidak lagi menawarkan kualiti pembelajaran, disiplin, atau asas moral seperti dahulu,” ujarnya.

Beliau memberitahu, para guru sendiri berasa tertekan dibebani dengan tugasan pentadbiran, laporan prestasi dan kerja perkeranian yang menyekat masa mereka untuk mengajar

“Guru menyertai profesion ini untuk mendidik dan memberi inspirasi, bukan untuk menjadi kerani yang tenggelam dalam timbunan borang dan sistem dalam talian.

“Guru sepatutnya diberikan sokongan yang sewajarnya supaya mereka dapat menumpukan lebih masa kepaada pelajar, bukannya kepada tugas birokrasi,” ujarnya.

Tambahnya, keadaan ini telah menyebabkan ramai pendidik berasa lemah semangat dan tidak dihargai, sementara pelajar pula terperangkap dalam sistem yang lebih mementingkan prosedur berbanding kemajuan.

“Pendidikan sepatutnya membentuk hati dan minda. Apabila sistem lebih mengutamakan jadual peperiksaan berbanding maruah mangsa, kertas kerja berbanding pengajaran, dan birokrasi berbanding belas kasihan, ia telah kehilangan arah tujuan asalnya.

“Jika kementerian benar-benar mendengar suara guru dan ibu bapa, mereka pasti memahami sebab di sebalik kemarahan ini,” katanya lagi.

Lau turut mengakui realiti pahit bahawa sekolah kebangsaan kini berdepan krisis persepsi yang tidak boleh lagi diabaikan.

“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa ibu bapa beranggapan sekolah kebangsaan tidak lagi menawarkan kualiti pendidikan atau disiplin moral seperti yang dinikmati generasi terdahulu?

“Penurunan standard pengajaran, bilik darjah yang sesak, dasar yang dipolitikkan serta kurikulum yang sering berubah setiap kali pentadbiran bertukar. Pendidikan mesti berada di atas kepentingan politik.

“Kita tidak boleh terus menjadikan sekolah sebagai medan eksperimen untuk keuntungan politik jangka pendek. Setiap kali dasar baharu diperkenalkan atau dibatalkan, anak-anak kitalah yang menanggung akibatnya,” jelasnya.

Lau menegaskan bahawa negara tidak mampu menanggung lagi kehilangan kepercayaan terhadap sistem pendidikan.

“Cara kementerian menangani kes ini sepatutnya menjadi satu amaran kepada semua lapisan kepimpinan. Apabila kemarahan awam meletus akibat keputusan kementerian, itu bermakna rakyat masih peduli.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah agar kementerian turut menunjukkan rasa peduli bukan dengan mempertahankan keputusan yang salah, tetapi dengan memperbetulkannya,” tegasnya.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: Pemasangan CCTV di 200 sekolah berasrama dijangka siap sepenuhnya ada November – KPM
Next: KPM laksana serta-merta lima reformasi pendidikan, pastikan sekolah lebih selamat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.