

PENGISIAN AKTIVITI... Antara pengisian aktiviti sepanjang latihan kebakaran di SJKC Wah Man, baru-baru ini. Foto BBP Sarikei
SARIKEI: Seramai 303 warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wah Man telah menyertai latihan kebakaran serta demonstrasi pemadaman api yang dikendalikan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei.
Ketua BBP Sarikei, Arrahman Chik berkata, daripada jumlah tersebut, 275 ialah murid, 25 merupakan guru dan tiga lagi adalah kakitangan sekolah.
“Latihan yang bermula pada 9.45 pagi hingga 11.30 pagi di sekolah tersebut melibatkan pelbagai pengisian seperti latihan pengungsian bangunan, ceramah pencegahan kebakaran, demonstrasi penggunaan alat pemadam api dan latihan merangkak dalam asap.
“Ia diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga sekolah mengenai kepentingan keselamatan kebakaran serta tindakan yang perlu diambil semasa kecemasan.
“Latihan seperti ini amat penting bagi memastikan semua warga sekolah tahu apa yang perlu dilakukan ketika berdepan kebakaran,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Tambahnya, latihan tersebut membantu warga sekolah mengenali laluan keluar selamat dan penggunaan alat pemadam api dengan betul.
“Pendedahan secara praktikal memberi impak lebih berkesan kepada murid berbanding teori semata-mata kerana mereka dapat melihat dan mencuba sendiri kaedah pemadaman api serta teknik menyelamat diri.
“Kita mahu setiap murid dan guru bersedia dari segi tindakan kecemasan, kerana pengetahuan asas keselamatan mampu mengurangkan risiko dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Katanya, latihan tersebut juga menjadi platform untuk memupuk budaya peka keselamatan dalam kalangan murid sejak usia muda.
Oleh Earl Anek