
SEJAK berlakunya perubahan politik nasional pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan insiden Langkah Sheraton, politik Sabah semakin kompleks dan dinamik.
Gabungan serta perpecahan antara parti-parti utama seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UMNO, Parti Warisan (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah mengubah struktur kuasa serta corak sokongan rakyat secara signifikan.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, persaingan antara parti-parti ini dijangka semakin sengit, dengan pelbagai faktor kritikal memainkan peranan dalam menentukan arah tuju pentadbiran negeri.
Isu seperti politik personaliti, sentimen sub-etnik, undi muda, skandal rasuah, serta pertembungan antara parti tempatan dan nasional menjadi elemen penting yang perlu diperhalusi dalam menilai potensi dan cabaran setiap blok politik.
Analisis ini akan membincangkan secara mendalam pelbagai isu utama menjelang penamaan calon termasuk analisis aspek kekuatan dan kelemahan utama GRS sebagai penyandang kerajaan, kebangkitan semula UMNO, pengaruh berterusan Warisan serta bagaimana faktor-faktor lain seperti perpecahan dalaman, politik kolaboratif dan isu integriti boleh mempengaruhi pembentukan kerajaan negeri yang akan datang.
Dalam konteks politik Sabah yang unik, setiap keputusan strategik mempunyai impak yang melangkaui pilihan raya itu sendiri – ia membentuk masa depan pentadbiran negeri dan hubungan persekutuan-negeri secara keseluruhan.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Walaupun parti ini menggunakan nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi tidak semua rakyat Sabah menyokong GRS. Asal-usul daripada kepimpinan parti itu sendiri berasal dari parti dari Semenanjung.

Hajiji Noor misalnya berasal dari parti USNO sebelum menyertai UMNO, kemudian apabila UMNO kalah dalam pilihan raya nasional, Hajiji dan sekutunya beramai-ramai menyertai parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun selepas Bersatu mulai lemah dan hilang kuasa di peringkat nasional, Hajiji menubuhkan GRS dengan harapan dapat menggunakan isu Sabah bagi mendapat undi rakyat Sabah.
Kekuatan yang ada pada GRS ialah sebagai tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah. Maka, dari segi jentera kerajaan negeri ini akan memberikan kelebihan dari segi sumber, jaringan birokrasi dan pengaruh ke atas pentadbiran daerah.
GRS menonjolkan imej gabungan tempatan ‘parti Sabah untuk rakyat Sabah’ melalui penubuhan parti tempatan seperti Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) dan sekutunya.
Namun kerjasama GRS dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Sabah sedikit sebanyak menjejaskan imej GRS.
GRS kini berdepan pergolakan dalaman apabila kemelut politik antara GRS dan UMNO pada awal 2023 memperlihatkan kelemahan dalam membina konsensus politik.
GRS juga kehilangan STAR sebagai rakan utama apabila Presiden Star, umum keluar GRS dan ini memberi tamparan kepada kekuatan politik gabungan ini, terutamanya di kawasan pedalaman.
Selain itu, beberapa isu pembangunan luar bandar, peluang pekerjaan, dan kos sara hidup memberi persepsi bahawa kerajaan GRS belum menyelesaikan masalah asas rakyat dan isi prestasi kerajaan negeri dijangka menjadi isu utama dalam PRN Sabah nanti.
UMNO Sabah
UMNO Sabah kini dilihat lebih stabil berbanding sebelum ini dan sedang mengatur strategi untuk kembali relevan.
Struktur akar umbi kini lebih kukuh dan UMNO memiliki jaringan cawangan dan penyokong akar umbi yang masih aktif, terutamanya di kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah.
Dari segi kepimpinan walaupun kontroversial, Bung Moktar masih mempunyai pengaruh politik yang signifikan di kawasan luar bandar tertentu seperti Kinabatangan dan Beluran.

UMNO Sabah masih membawa jenama Barisan Nasional yang punya sejarah kuat di negeri ini.
Namun, cabaran utama ialah membina naratif dan persepsi terhadap UMNO yang dianggap parti luar meskipun pernah menjadi parti pemerintah Sabah.
Cabaran untuk menarik pengundi muda dan perlu elak pertelingkahan dalaman terutama elak sabotaj dalaman dalam konteks selepas penamaan calon adalah antara perkara perlu ditangani segera.
Parti Warisan: Jaringan luas, karisma, dan naratif autonomi
Parti Warisan kekal sebagai salah satu pemain utama dalam politik Sabah.
Sejak ditubuhkan pada 2016, parti ini telah berjaya membina jentera yang merentas sempadan kaum dan sub-etnik, dengan kekuatan tersendiri di kawasan pantai timur dan bandar-bandar utama.

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, masih menjadi sosok politik berpengaruh. Karismanya sebagai pemimpin yang lantang memperjuangkan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia telah menjadikan beliau simbol autonomi negeri.
Naratif ‘Sabah for Sabahan’ yang dibawa Warisan berjaya menawan hati pengundi yang bosan dengan dominasi parti dari Semenanjung.
Namun begitu, kekuatan ini turut dilengkapi dengan cabaran besar. Sejak tumbangnya kerajaan Warisan pada 2020, parti itu kelihatan kehilangan momentum.
Naratif autonomi yang sama mula dipersoal keberkesanannya apabila realiti pentadbiran terdahulu menunjukkan banyak isu asas seperti pembangunan luar bandar dan peluang ekonomi masih belum diselesaikan.
Isu rasuah: Cabaran terbesar legitimasi politik
Rasuah kini kembali menjadi isu paling kritikal dalam politik Sabah, khususnya selepas beberapa tokoh utama dalam kepimpinan GRS sendiri didakwa atau dikaitkan dengan penyelewengan dana serta salah guna kuasa.
Situasi ini telah menggugat imej GRS sebagai gabungan pemerintah yang sebelum ini menonjolkan diri sebagai bersih, stabil dan berintegriti.
Tuduhan terhadap pemimpin kanan GRS memberi kesan langsung kepada persepsi rakyat, terutama dalam kalangan pengundi yang menilai kejujuran serta kebertanggungjawaban kerajaan negeri.
Yang dibimbangi ialah kesan domino terhadap keseluruhan struktur politik GRS. Dalam konteks Sabah yang sarat dengan sejarah politik tidak stabil, sebarang petanda kelemahan moral atau penyalahgunaan kuasa boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap keupayaan gabungan ini untuk terus mentadbir dengan telus.
Walaupun kepimpinan tertinggi GRS cuba menjarakkan diri daripada individu yang terlibat dan menegaskan bahawa kes tersebut bersifat peribadi, persepsi awam tetap sukar dikawal apabila ia melibatkan figura berprofil tinggi dalam kerajaan negeri.
Dalam era digital yang serba pantas, persepsi terhadap rasuah tidak lagi bergantung semata-mata pada hasil siasatan rasmi, tetapi juga pada naratif awam di media sosial.
Pengundi kini lebih kritikal dan tidak mudah dipengaruhi oleh kenyataan politik semata-mata.
Mereka menilai tindakan kerajaan dalam menangani tuduhan tersebut — sama ada bersikap tegas dan terbuka, atau sekadar bertindak defensif untuk melindungi kepentingan politik.
Sekiranya GRS gagal mengurus krisis ini secara berhemah — sama ada dengan memperkukuh dasar ketelusan, memperkenalkan mekanisme antirasuah negeri atau menunjukkan komitmen nyata terhadap akauntabiliti — ia berisiko kehilangan modal politik yang telah dibina sejak mengambil alih kerajaan pada 2020.
Dalam konteks menjelang PRN, kepercayaan terhadap integriti kepimpinan akan menjadi faktor penentu, kerana rakyat bukan sahaja mengundi berdasarkan pembangunan fizikal, tetapi juga kejujuran moral mereka yang memimpin.
Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL