
SARATOK: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan anak-anak negeri ini memperoleh peluang pendidikan yang lebih luas melalui pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan kepada para pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata antara bantuan yang disediakan melalui Yayasan Sarawak termasuk bantuan komputer riba untuk pelajar tahun pertama diploma dan ijazah sepenuh masa, Bantuan Baucer Buku, serta Bantuan Kewangan Khas (BKK) Pelajar Sarawak.
“Penyaluran pelbagai bentuk bantuan terutamanya dalam aspek pendidikan kepada semua rakyat di negeri ini menjadi bukti keprihatinan kerajaan Sarawak untuk membina modal insan yang berintegriti dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi wakilnya, Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad, semasa menyampaikan sumbangan pendidikan kepada anak-anak Saratok yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti di Pusat Khidmat ADUN Kalaka, hari ini.
Mohamad Duri turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pelajar terbabit serta mendoakan kejayaan mereka dalam menimba ilmu untuk kembali berbakti kepada keluarga, komuniti dan Sarawak.
“Semoga para mahasiswa ini terus berusaha, mencapai kejayaan cemerlang serta menjadi penyumbang kepada pembangunan negeri dan masyarakat pada masa hadapan, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman