
KUCHING: Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) mencadangkan agar Sarawak turut membangunkan hospital wakaf sendiri sebagai sebahagian daripada usaha memperluas manfaat wakaf dalam sektor kesihatan di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ridzwan Bakar, berkata hasrat itu sejajar dengan agenda YWM untuk memastikan setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, mempunyai hospital wakaf yang menawarkan perkhidmatan kesihatan patuh syariah serta mampu milik kepada rakyat.
“Kami berharap setiap negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, mempunyai hospital wakaf sendiri.
“Klinik wakaf memang sudah ada, tetapi hospital wakaf sepenuhnya masih belum diwujudkan. Ia akan menjadi model baharu yang lebih kompetitif dan berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat (LoI) antara YWM dengan tujuh rakan industri di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara projek utama yang telah dimulakan ialah pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf di Semenyih, yang dilaksanakan bersama Highfield Healthcare Sdn. Bhd. dan dijangka siap pada 2028.
“MoU dengan Highfield melibatkan pembinaan hospital wakaf yang pertama di Malaysia. Walaupun kelulusan dan perancangan telah dibuat, proses pembinaan serta penyediaan dana memerlukan masa, namun kami beriltizam merealisasikannya secepat mungkin,” ujarnya.
Ridzwan menjelaskan, projek itu menjadi langkah awal ke arah mewujudkan rangkaian hospital wakaf di seluruh negara, dengan harapan model berkenaan dapat diterapkan di negeri lain termasuk Sarawak.
Selain Highfield Healthcare, enam lagi rakan strategik turut menandatangani LoI bersama YWM iaitu Pahang Gold Sdn. Bhd., Sedania As Salam Capital (SASC), Emaan Catalyst Community (ECC), Lokalities Group Sdn. Bhd., Sekretariat Infaq Nasional (SINA) dan Kowabunga! Global Pte. Ltd.
Kerjasama itu merangkumi pelbagai inisiatif berimpak tinggi termasuk pembangunan platform infaq dan wakaf emas, penggunaan teknologi digital dalam pengumpulan dana wakaf, pelaksanaan projek sosial berasaskan komuniti serta program pendidikan berteraskan nilai dan sahsiah pelajar.
Ridzwan berkata, kolaborasi strategik ini dijangka membuka ruang kepada pelbagai inovasi sosial berasaskan wakaf yang memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan visi Pelan Transformasi Al-Falah dan prinsip Malaysia MADANI.
Oleh Shahrul Qaizat