

MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan 139,880 permohonan kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan kandungan berunsur penipuan, dan 95 peratus atau 133,348 kandungan berjaya diturunkan dari 1 Januari 2022 hingga 30 September lepas.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata bagi kandungan berunsur buli, sebanyak 50,160 permohonan telah dibuat, 77 peratus atau 38,470 kandungan telah diturunkan dalam tempoh sama.
“Tindakan penurunan ini dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti yang telah ditetapkan oleh setiap platform selaras dengan undang-undang tempatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai langkah drastik yang akan diambil kementerian bagi menangani isu scammer serta buli dalam talian yang semakin berleluasa memandangkan ia bukan sahaja merugikan dari segi kewangan malah menjejaskan kesejahteraan mental masyarakat termasuk remaja.
Fahmi berkata MCMC juga melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon serta mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari lepas.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan setiap penyedia perkhidmatan memikul tanggungjawab dalam menguruskan operasi mereka dengan baik di Malaysia termasuk menangani kandungan penipuan dan buli.
Fahmi berkata MCMC turut menerbitkan Kod Tatalaku Amalan Terbaik Untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial pada 20 Disember 2024 yang menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi pengguna media sosial daripada kandungan memudaratkan.
Beliau berkata Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) turut digubal bagi meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia serta mengawal selia kandungan memudaratkan dan mengadakan peruntukan bagi kewajipan serta obligasi bagi pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian bagi mengekang isu seperti penipuan dan buli dalam talian.
“Ketika ini, MCMC sedang membangunkan instrumen subsidiari di bawah Akta 866 di mana peraturan dan kod yang sedang dibangunkan oleh MCMC turut memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan termasuk berkenaan pengurusan risiko dalam talian,” katanya.
Fahmi juga berkata setakat 30 September lepas, Kempen Internet Selamat yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keselamatan digital termasuk isu penipuan dalam talian dan buli siber telah dilaksanakan di 3,825 institusi pendidikan melibatkan penyertaan 218,000 peserta dan 337 progam untuk masyarakat umum membabitkan 222,000 peserta seluruh negara.- Bernama