
KUCHING: Itulah tekad penyanyi Iban popular, Mawat, yang kini muncul sebagai antara artis paling menyerlah dalam industri muzik tempatan.
Bagi Mawat atau nama sebenarnya Gibrael Mawat Clement Saran, setiap lagu yang dihasilkan bukan sekadar hiburan, tetapi wadah untuk memperkenalkan budaya dan identiti masyarakat Iban ke mata dunia.
Dengan suara lunak dan karisma semula jadi, Mawat terus menambat hati peminat dari pelbagai peringkat usia.
Setiap persembahannya mampu menghidupkan suasana, manakala keperibadiannya yang rendah diri menjadikannya mudah didekati.

Ketika ditemui baru-baru ini, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Dayang Bintang itu mengakui tidak menyangka sambutan luar biasa diterima daripada peminat.
“Saya amat terkejut dengan sokongan mereka. Walaupun masih baharu dalam industri, kehadiran saya disambut dengan begitu positif. Segala puji bagi Tuhan atas perjalanan yang lancar ini,” katanya dengan nada terharu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam setiap langkah seninya.
“Siapalah saya tanpa mereka. Saya cuba untuk menghargai setiap peminat, salam setiap tangan yang mampu saya capai kerana tanpa mereka saya tiada di sini,” ujarnya penuh ikhlas.
Mawat menambah, kejayaan yang diraih tidak pernah menjadikannya leka atau sombong.
“Saya pegang pesan orang tua – ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Dalam dunia seni, sikap merendah diri itu penting,” katanya.


MAWAT merakam kenangan bersama para peminat.
Lagu Dayang Bintang, yang diperkenalkan pada awal Mei lalu, kini menjadi siulan ramai bukan sahaja di Sarawak, malah turut menembusi pasaran luar negara.
Menurut Mawat, inspirasi lagu itu datang daripada keinginannya untuk memartabatkan muzik dan budaya Iban.
“Dayang Bintang adalah simbol kasih dan kebanggaan saya terhadap budaya bangsa sendiri. Saya mahu dunia tahu bahawa muzik Iban punya nilai seni yang tinggi,” jelasnya.
Mengulas tentang projek terbaharunya, Mawat mendedahkan beliau kini sedang menyiapkan kesinambungan lagu tersebut berjudul Dayang Bintang 2.
“Lagu baharu ini akan membawa jiwa yang sama, tetapi dengan pendekatan lebih segar dan bertenaga. Saya mahu peminat merasakan perjalanan emosi dan kematangan dalam karya ini,” katanya dengan penuh semangat.
Dengan dedikasi dan bakat yang semakin menyerlah, Mawat terus membuktikan dirinya sebagai ikon baharu muzik Iban yang membawa warisan seni bangsa ke pentas dunia.
Oleh Norman B