

MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau secara rapi cerun berisiko di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 5 November ini hingga Mac tahun hadapan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemantauan itu penting susulan sepanjang tempoh berkenaan dijangkakan berlaku lima hingga tujuh episod hujan lebat.
Beliau berkata setakat ini JKR telah memasang73 stesen tolok hujan, tiga Robotic Total Station (RTS) dan satu unit Global Navigation Satellite System (GNSS) untuk memantau cerun berisiko.
“Berdasarkan data diperoleh daripada Sistem Amaran Awal, Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR Malaysia akan menyalurkan amaran awal kepada JKR negeri dan daerah mengikut tahap berjaga-jaga, amaran atau bahaya.
“Tindakan pantas, koordinasi, dan kesiapsiagaan adalah tanggungjawab bersama untuk melindungi nyawa, harta benda, dan infrastruktur,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim.
Sementara itu, Nanta merakamkan penghargaan terhadap peruntukan disediakan kepada KKR dalam Belanjawan MADANI 2026 yang disifatkan sebagai bukti keyakinan kerajaan terhadap peranan kementerian itu sebagai pemudahcara pembangunan negara.
Beliau berkata, meskipun negara berdepan cabaran fiskal dan keperluan penstrukturan semula subsidi, kerajaan tetap mengekalkan fokus terhadap infrastruktur asas rakyat seperti jalan raya, jambatan, bangunan awam serta keselamatan cerun.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat kelemahan dalam pelaksanaan projek di bawah kementerian itu sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Bil. 3/2025, termasuk kelewatan projek, ketidakpatuhan spesifikasi dan kelemahan pengawasan.
“Saya tidak akan menyapu perkara ini di bawah karpet. Teguran itu bukan hukuman, sebaliknya cerminan kejujuran institusi pengawasan negara.
“Namun, jika kita terus mengulangi kesilapan sama, itu bukan lagi kelemahan sistem, itu adalah kegagalan manusia,” katanya sambil menegaskan tindakan pembetulan mesti dilaksanakan secara menyeluruh dan bertanggungjawab.
Dalam perkembangan lain, Nanta turut memuji pencapaian sektor pembinaan sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang merekodkan hampir 23,000 projek bernilai lebih RM42 bilion di seluruh negara.
“Tahun 2025 menyaksikan kejayaan besar dalam reformasi kerenah birokrasi, daripada mempercepat bayaran kepada kontraktor dan memperkukuh penyenggaraan jalan G1 hingga G4 bernilai RM450 juta hinggalah meningkatkan ketelusan melalui penggunaan bon pelaksanaan serta sistem digital,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata cabaran yang akan dihadapi dalam fasa pertama RMK13 memerlukan kementerian bersikap proaktif, cekap dan berasaskan data serta akauntabiliti dalam setiap tindakan.
“Permulaan RMK13 akan menjadi ujian sebenar terhadap keupayaan KKR untuk kekal relevan dan bersedia menghadapi masa depan, dalam usaha menyeimbangkan tanggungjawab sosial dengan kekangan kewangan negara. Kita perlu realistik, setiap ringgit peruntukan mesti memberi impak maksimum,” katanya.
– Bernama