Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • 4 negara penjamin gencatan senjata Gaza selepas persetujuan dicapai
  • GLOBAL

4 negara penjamin gencatan senjata Gaza selepas persetujuan dicapai

Utusan Sarawak 1 day ago

Presiden AS Donald Trump berucap semasa Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh di pusat peranginan Laut Merah Mesir pada 13 Oktober 2025. Trump menyifatkan sidang kemuncak Gaza di Mesir sebagai ‘hari yang luar biasa’ bagi Asia Barat sambil berkata satu dokumen mengenai ‘peraturan dan garis panduan’ untuk rundingan masa depan akan ditandatangani. — Gambar AFP

SHARM EL SHEIKH: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyifatkan hari ini sebagai ‘hari yang luar biasa bagi Asia Barat’ selepas beliau dan pemimpin serantau menandatangani satu deklarasi bertujuan memeterai gencatan senjata di Gaza, beberapa jam selepas Israel dan Hamas bertukar tebusan dan tahanan.

Trump membuat lawatan singkat ke Israel, di mana beliau memuji Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam ucapannya di Parlimen sebelum terbang ke Mesir untuk menghadiri sidang kemuncak Gaza. 

Di sana, beliau bersama pemimpin Mesir, Qatar dan Turki menandatangani deklarasi tersebut pada Isnin sebagai penjamin perjanjian Gaza itu.

“Ini adalah hari yang luar biasa untuk dunia, hari yang luar biasa untuk Asia Barat”, kata Trump ketika lebih dua puluh pemimpin dunia berkumpul untuk berbincang di pusat peranginan Sharm el-Sheikh.

Beliau kemudiannya mengisytiharkan bahawa para pemimpin yang hadir telah “mencapai sesuatu yang dikatakan mustahil oleh semua orang.”

“Setelah sekian lama, kita akhirnya mencapai keamanan di Asia Barat,” kata Trump dalam ucapannya.

Menurut dokumen tersebut, para penandatangan berikrar untuk “mengejar visi menyeluruh bagi keamanan, keselamatan dan kemakmuran bersama di rantau ini,” serta mengalu-alukan “kemajuan yang dicapai dalam mewujudkan susunan keamanan yang menyeluruh dan berkekalan di Semenanjung Gaza.”

Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi berkata perjanjian Gaza itu “menutup satu babak menyakitkan dalam sejarah manusia” dan membuka jalan ke arah penyelesaian dua negara.

Salah seorang tahanan Palestin yang dibebaskan menerusi pertukaran tahanan dan tebusan serta perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, membuat isyarat tangan ketika beliau bersama tahanan lain turun dari bas sebaik tiba di Pusat Kebudayaan Ramallah, di Ramallah, Tebing Barat yang diduduki. – Foto AFP

Sebagai sebahagian daripada rancangan Trump untuk menamatkan perang Gaza, Hamas pada Isnin membebaskan 20 orang tebusan terakhir yang masih hidup selepas dua tahun ditahan di Gaza.

Sebagai pertukaran, Israel membebaskan 1,968 tahanan — kebanyakannya rakyat Palestin — menurut perkhidmatan penjaranya.

“Bagi begitu banyak keluarga di tanah ini, sudah bertahun-tahun lamanya sejak kalian merasai sehari yang benar-benar aman,” kata Trump dalam ucapannya di Parlimen Israel awal hari itu, di mana beliau menerima tepukan gemuruh.

“Bukan sahaja untuk rakyat Israel, tetapi juga untuk rakyat Palestin dan ramai yang lain — mimpi ngeri yang panjang dan menyakitkan akhirnya berakhir.”

Di Tel Aviv, orang ramai yang berhimpun untuk menyokong keluarga tebusan menzahirkan kegembiraan dengan tangisan dan nyanyian apabila berita pembebasan pertama tersebar, meskipun kesedihan atas kehilangan mereka yang tidak terselamat masih terasa.

Di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki, ribuan rakyat berhimpun menyambut kepulangan tahanan pertama, dengan sebahagian melaungkan “Allahu akbar” sebagai tanda kesyukuran.

Dan di bandar Khan Yunis di selatan Gaza, penduduk memanjat bas Palang Merah yang perlahan bergerak untuk memeluk dan mencium insan tersayang yang baru dibebaskan.

‘Penuh emosi dan kesedihan’

“Kembali ke pangkuan keluarga,” tulis Kementerian Luar Israel di platform X, menyambut kepulangan tebusan mereka.

Tiada seorang pun daripada tebusan yang bercakap secara langsung kepada AFP selepas pembebasan, namun video yang dirakam dan disiarkan oleh tentera Israel memperlihatkan emosi yang kuat ketika pertemuan semula.

“Hidupku, kaulah hidupku… kau seorang wira,” jerit Einav Zangauker sambil memeluk anaknya Matan yang tersenyum dalam salah satu video tersebut.

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Hamas juga akan memulangkan mayat 27 tebusan yang mati atau terbunuh dalam tahanan, serta mayat seorang askar yang terbunuh pada 2014 semasa konflik Gaza terdahulu.

Daripada tahanan yang dibebaskan Israel, kira-kira 250 merupakan tahanan keselamatan — termasuk mereka yang disabit kesalahan membunuh rakyat Israel — manakala sekitar 1,700 lagi ditahan oleh tentera di Gaza sepanjang perang.

Pada 7 Oktober 2023, militan yang diketuai Hamas menawan 251 tebusan semasa serangan besar-besaran mereka terhadap Israel, yang menyebabkan 1,219 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam.

Semua kecuali 47 daripada tebusan itu telah dibebaskan dalam gencatan terdahulu, dengan keluarga mereka yang masih hilang hidup dalam kesakitan dan kebimbangan berterusan.

‘Kelahiran semula’

Di Gaza juga, gencatan senjata membawa kelegaan, tetapi dengan wilayah itu dilanda krisis kemanusiaan dan sebahagian besar musnah akibat perang, jalan pemulihan masih panjang.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 67,869 nyawa, menurut angka Kementerian Kesihatan di wilayah yang ditadbir Hamas — angka yang dianggap sahih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kegembiraan terbesar ialah melihat seluruh keluarga saya berkumpul menyambut saya,” kata Yusef Afana, seorang bekas tahanan berusia 25 tahun dari utara Gaza kepada AFP di Khan Yunis.

“Saya menghabiskan 10 bulan dalam penjara — antara hari-hari paling sukar dalam hidup saya.”

Di Ramallah, tahanan Palestin yang dibebaskan disambut dengan sorakan orang ramai yang begitu padat hingga mereka sukar turun dari bas yang membawa mereka keluar dari penjara.

“Ia perasaan yang sukar digambarkan — seperti dilahirkan semula,” kata Mahdi Ramadan yang baru dibebaskan kepada AFP sambil dikelilingi ibu bapanya.

Agensi Bantuan Palestin PBB (UNRWA) menyeru supaya bantuan kemanusiaan disalurkan semula ke Gaza yang parah.

“Sudah tiba masa untuk membenarkan bantuan kemanusiaan berskala besar masuk, termasuk melalui UNRWA,” kata ketuanya Philippe Lazzarini di X.

Isu tertangguh

Lawatan Trump ke Asia Barat bertujuan meraikan peranannya dalam merundingkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan minggu lalu — namun banyak perkara masih perlu dirundingkan.

Antara isu utama ialah keengganan Hamas untuk melucutkan senjata dan kegagalan Israel memberi komitmen untuk berundur sepenuhnya dari wilayah yang musnah itu.

Namun begitu, Trump berulang kali menyatakan keyakinan bahawa gencatan senjata itu akan kekal, sambil berkata dalam satu penampilan bersama Presiden Sisi di Sharm el-Sheikh bahawa rundingan mengenai langkah seterusnya “telah pun bermula, sekurang-kurangnya bagi pihak kami.”

Trump sebelum ini, pada akhir September, mengumumkan pelan 20 perkara untuk Gaza yang membantu membawa kepada gencatan senjata itu.

Beliau sempat bertemu singkat dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas pada sidang kemuncak tersebut — yang tidak dihadiri oleh wakil Israel mahupun Hamas — sebelum berlepas pada sebelah petang.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, pada Isnin menyeru Trump dan para perantara perjanjian Gaza supaya “terus memantau tindakan Israel dan memastikan ia tidak menyambung semula pencerobohannya terhadap rakyat kami.” — AFP

Continue Reading

Previous: Lebih 300,000 penduduk Gaza bergerak dari selatan ke utara susulan gencata senjata
Next: Berlian 340 karat ditemukan di wilayah Arkhangelsk, Rusia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.