

PAKAR Klimatologi Prof Dr Fredolin Tangang berkata sasaran Malaysia mengurangkan intensiti pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai karbon yang dijadual bermula tahun depan mencerminkan komitmen bersungguh-sungguh kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim secara mampan dan menyeluruh, sekali gus memperkukuh peralihan negara ke arah ekonomi hijau.
Pakar Klimatologi Prof Dr Fredolin Tangang berkata langkah itu selari dengan sasaran Malaysia mengurangkan intensiti pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030, selaras komitmen antarabangsa.
“Setakat ini, lebih 40 negara sudah melaksanakan mekanisme cukai karbon. Malaysia dilihat berada pada landasan yang sama dengan memperkenalkan dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya ketika dihubungi Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026, pada Jumaat lepas, mengumumkan cukai karbon akan diperkenalkan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.
Menurut beliau, bagi memastikan pelaksanaanya berkesan, mekanisme cukai itu akan diselaraskan dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan serta Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal.
Sementara itu, Pengurus Program Penjagaan Sungai, Global Environment Centre (GEC) Dr K. Kalithasan berkata cukai karbon akan memperkukuh usaha pemeliharaan alam sekitar, selari dengan agenda hijau negara termasuk usaha membanteras pembalakan tidak terkawal bagi melindungi ekosistem hutan negara.
“Perlindungan khazanah alam bukan hanya untuk masa kini, tetapi juga generasi akan datang. Untuk itu, peruntukan besar amat diperlukan. Kami menyokong langkah ini dan berharap pelaksanaannya konsisten dan menyeluruh kerana ia membabitkan kelangsungan hidup manusia,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Program Sarjana Muda Sains Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Dr Aqilah Awg Abdul Rahman berkata cukai karbon akan memberi tekanan positif kepada industri berintensiti tinggi karbon supaya lebih bertanggungjawab dan beralih segera kepada teknologi tenaga lestari.
Namun, beliau menegaskan perlunya mekanisme kawal selia yang teliti bagi mengelakkan tekanan kos bahan mentah yang mungkin timbul berikutan pelaksanaan cukai itu.
Mengulas peruntukan RM630 juta bagi perlindungan khazanah alam negara, Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Nurhidayu Abu Bakar berkata ia membuktikan kerajaan mengiktiraf alam semula jadi sebagai elemen penting kestabilan ekosistem negara.
“Peruntukan ini memberi mesej jelas bahawa kerajaan melihat perlindungan alam bukan beban kos semata-mata, tetapi pelaburan jangka panjang dalam kualiti hidup rakyat, mitigasi bencana dan sumber air negara,” katanya.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia, N. Rajesh pula berkata usaha memelihara ekologi negara perlu diselaraskan dengan dasar pembangunan lain seperti pertanian, perindustrian dan perancangan bandar bagi mengelak percanggahan dengan agenda ekonomi.
Dalam kenyataan berasingan, World Wide Fund for Nature (WWF-Malaysia) menyambut baik komitmen kerajaan terhadap cukai karbon dan inisiatif hijau, namun menzahirkan kebimbangan mengenai integrasi aspek alam sekitar dalam perancangan pembangunan, khususnya membabitkan projek perlombongan unsur nadir bumi dan pelancongan di kawasan sensitif termasuk tapak diiktiraf UNESCO.
“Bagi mengelakkan kemusnahan ekologi, mekanisme perlindungan lebih tegas dan pematuhan ketat perlu dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.- Bernama