
KUALA LUMPUR: Orangnya kecil molek dan apabila bertutur pula nadanya sentiasa lembut, namun di sebalik semua itu Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki bukan wanita yang calang-calang.
Penyelidik dan juga profesor daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur ini mencipta sejarah sebagai wanita pertama negara tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut dari 2019 hingga tahun ini.
Senarai berprestij itu diterbitkan oleh Universiti Stanford dan penerbit akademik Elsevier yang menilai lebih sembilan juta penyelidik dari seluruh dunia, namun hanya sekitar 100,000 saintis berimpak tinggi dipilih berdasarkan citation (petikan), indeks-H, kolaborasi antarabangsa dan peranan kepengarangan utama.
Bagi dirinya, pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi tetapi juga kebanggaan buat Malaysia.
“Apabila saya mengetahui disenaraikan buat kali ketujuh, saya amat bersyukur. Ia bukan hanya penghargaan terhadap kerja keras saya, tetapi juga legasi untuk UUM dan Malaysia, membuktikan bahawa kita mampu berdiri setaraf dengan saintis antarabangsa,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Pencapaian beliau bukan sahaja menzahirkan kecemerlangan peribadi, malah mengukuhkan profil penyelidikan Malaysia di persada global selain menjadi simbol kecekalan wanita Malaysia dalam dunia akademik yang kompetitif dan lazimnya didominasi kaum lelaki.
PENGIKTIRAFAN “TULEN”
Norazah tersenarai dalam World’s Top 2 % Scientists sejak pengiktirafan itu diperkenalkan oleh Universiti Stanford dan Elsevier pada 2019. Beliau kini di kedudukan 167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan serta ke-5,173 secara keseluruhan dalam kalangan 100,000 saintis berimpak tinggi di seluruh dunia.
Berdasarkan pangkalan data Scopus, beliau mencatatkan H-Index 39 dengan lebih 196 artikel diterbitkan dan lebih 5,000 petikan oleh penyelidik lain di seluruh dunia, iaitu satu pencapaian luar biasa dalam bidang sains sosial dan pengurusan yang biasanya tidak mencatat kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.
(Scopus ialah pangkalan data pelbagai disiplin yang berasaskan semakan rakan sebidang, sementara H-Index merujuk ukuran yang menilai keseimbangan antara kuantiti dan kualiti penyelidikan seseorang saintis.)
Menjelaskan dengan lebih lanjut pencapaiannya kepada Bernama, Norazah berkata H-Index 39 bermaksud sekurang-kurangya 39 artikel beliau yang masing-masing telah dirujuk sekurang-kurangnya 39 kali oleh penyelidik lain.
“Realitinya, bukan semua orang boleh mencapai Scopus H-Index 30 ke atas, apatah lagi 39. Ia satu angka yang sangat tinggi, terutama dalam bidang sains sosial dan pengurusan kerana bidang ini tidak mempunyai jumlah penyelidik dan kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.
“Angka itu menunjukkan hasil penyelidikan saya bukan sahaja diterbitkan, tetapi turut digunakan dan dirujuk secara meluas oleh komuniti akademik antarabangsa,” jelasnya.
Tegas beliau lagi, pemilihan ke dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia tidak bergantung pada jumlah penerbitan semata-mata, sebaliknya kualiti dan impak sebenar penyelidikan.
“Tiada permohonan, tiada pencalonan, semuanya berpaksikan data penerbitan yang sahih dan berimpak tinggi. Jadi, apabila nama kita muncul dalam senarai itu, ia benar-benar hasil kerja keras bertahun-tahun,” jelas beliau lagi, menambah pencapaiannya itu juga membuktikan disiplin, konsistensi dan rasa ingin tahu yang tinggi adalah kunci kejayaan.
“Untuk kekal dalam senarai ini bukan mudah. Kita perlu terus aktif menjalankan penyelidikan berimpak tinggi, menulis, menerbitkan dan berkolaborasi di peringkat antarabangsa. Walau sesibuk mana pun saya sentiasa pastikan setiap hari ada masa diperuntukkan untuk menulis atau menyemak data penyelidikan dengan penuh disiplin,” kongsi beliau.
PERJALANAN AKADEMIK & KELUARGA
Dilahirkan di Kluang, Johor pada 1977,anak kedua daripada tiga beradik ini membesar dan menerima pendidikan awal di Jasin, Melaka. Sejak kecil, beliau dan adik-beradik diasuh dalam suasana keluarga yang menekankan disiplin dan pendidikan.
Bukan sesuatu yang menghairankan kerana ibunya Azbah Semat, merupakan “Special Grade Midwife” di Hospital Melaka sebelum bersara, manakala arwah bapanya Mohd Suki Umbi pernah berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia sebelum menjadi penguasa asrama di Institut Kemahiran Mara Jasin.
“Ibu dan arwah bapa menjadi tulang belakang kejayaan saya. Mereka menghantar saya dan kakak saya, Prof Madya Ts Dr Norbayah, ke kampus setiap hari di Universiti Multimedia (MMU) Melaka dan kemudian ke MMU Cyberjaya. Mereka tidak pernah jemu memberi semangat untuk kami menimba ilmu hingga ke peringkat tertinggi,” ujarnya penuh syukur.
Kakaknya juga bertugas di UUM Kampus Kuala Lumpur, manakala adik bongsu mereka Mohamad Syukri seorang cef terlatih.
Merupakan lepasan Institut Perdagangan Mara, Norazah menyambung pengajian ijazah pertama di MMU dan menamatkan pengajian pada 2000. Beliau kemudian meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pemasaran dan e-dagang di universiti sama dan menamatkan pendidikan pada 2006 ketika berusia 29 tahun.
Sepanjang 25 tahun dalam dunia akademik, Norazah menempuh perjalanan dengan penuh dedikasi, di beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini. Beliau pernah berkhidmat di MMU, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Industri Selangor dan Universiti Malaysia Sabah (Kampus Antarabangsa Labuan) sebelum menyertai UUM pada 2018.
“Setiap tempat memberi pengalaman berbeza, tetapi semuanya membentuk siapa saya hari ini,” katanya mengimbas perjalanan kariernya.
Pada 2018, beliau menerima pengiktirafan Malaysia’s Research Star Award (MRSA), satu penghargaan berprestij daripada penerbit akademik Elsevier dan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada penyelidik Malaysia yang menghasilkan penerbitan berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa.
Kini, pada usia 48 tahun, beliau bukan sahaja bergelar profesor tetapi turut memegang jawatan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Hubungan Korporat) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM – simbol kepada disiplin, fokus dan minat mendalam yang mengangkatnya ke puncak dunia akademik.
EKOSISTEM & KEPIMPINAN PENYELIDIKAN
Bagi Norazah, kejayaan dalam penyelidikan bukanlah kerja individu, tetapi hasil ekosistem universiti dan pasukan yang menyokong sepenuhnya. Beliau yang banyak menjalankan kerjasama penyelidikan rentas negara turut menekankan kepentingan menjadi pengarang utama dalam penerbitan berimpak tinggi.
“Kepengarangan utama mencerminkan kepimpinan intelektual seseorang, menunjukkan peranan kita dalam membentuk idea dan menggerakkan penyelidikan,” jelasnya.
Bukan setakat itu, Norazah juga membantu pelajarnya mencipta kejayaan dan antara pencapaian besar yang masih diingatinya ialah membantu 105 penuntut sarjana muda menerbitkan artikel berindeks Scopus, satu pencapaian yang sangat jarang berlaku dalam dunia pendidikan.
Buku yang bertajuk “Handbook of Research on Leveraging Consumer Psychology for Effective Customer Engagement” itu diterbitkan oleh IGI Global pada 2017, melibatkan pelajarnya yang beliau latih sejak awal pengajian.
“Saya berperanan sebagai penyelia, pembimbing dan juga penghubung yang menjawab semua komen daripada penilai buku.
“Mereka yang menjalankan kajian dan saya hanya bantu dari segi semakan analisis data dan penulisan sebelum semua penemuan mereka disatukan dalam sebuah buku. Ini antara cara saya memberi peluang awal kepada pelajar mengenali dunia penyelidikan sebenar,” katanya.
Penerbitan buku itu membolehkan setiap penulis memiliki Scopus ID sendiri di pangkalan data Scopus. Lebih membanggakan, sebahagian pelajarnya kini memegang jawatan akademik pelbagai peringkat termasuk profesor, profesor madya dan ketua jabatan, selain ada yang bergelar usahawan berjaya.
Seorang daripada mereka ialah Mejar (PA) Nur Azmiani Ambatang yang menyifatkan Norazah bukan sekadar pensyarah tetapi contoh pemimpin berdisiplin dan berjiwa patriotik.
“Beliau selalu menekankan bahawa kepimpinan bukan soal pangkat, tetapi tanggungjawab dan teladan,” katanya, menambah nilai itu membentuk disiplin serta semangat kepimpinan yang membantunya berjaya sebagai pegawai berpangkat Mejar Pertahanan Awam di Wilayah Persekutuan.
Prof Madya Dr Irma Wani Othman pula berpendapat, ketegasan dan keprihatinan pensyarahnya itu semasa beliau menjadi pelajar pascasiswazah membentuk disiplin penyelidikan yang kukuh. “Beliau menekankan proses, bukan hanya hasil akhir. Setiap keputusan mesti ada justifikasi,” katanya yang kini meneruskan legasi sebagai penyelidik dan profesor madya di Universiti Malaysia Sabah.
“Saya percaya gaya beliau wajar dicontohi oleh pendidik muda. Dalam dunia akademik yang sering menekankan kuantiti dan hasil segera, beliau menunjukkan kejayaan sebenar pendidik diukur melalui nilai dan kualiti pelajar yang dibentuk, bukan sekadar pencapaian di atas kertas semata-mata,”ujarnya.
LEGASI ILMU, KHIDMAT MASYARAKAT DAN PATRIOTISME
Dalam bidang pemasaran dan e-dagang, Norazah dikenali kerana penyelidikannya yang berfokus pada tingkah laku pengguna serta pemasaran digital dan kelestarian. Kini, beliau menumpukan penyelidikan pada bidang Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kecerdasan buatan (AI) dan pola pembelian baharu pengguna seperti “Buy Now, Pay Later.”
Katanya minat terhadap pemasaran hijau bermula sejak beliau di peringkat pengajian ijazah sarjana lagi.
“Saya percaya perniagaan masa depan harus bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan masyarakat. Itulah mesej utama dalam semua kajian saya.”
Di sebalik reputasi sebagai saintis bertaraf dunia, Norazah juga dikenali sebagai seorang pegawai beruniform berjiwa rakyat. Sejak 2013, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Bersekutu APM dengan pangkat Lt. Kolonel Bersekutu dan kini menjawat jawatan Timbalan Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KorSispa) UUM. Melaluinya, beliau memupuk semangat kesukarelawanan dan patriotik dalam kalangan mahasiswa dan generasi muda.
Mengimbas penglibatannya dalam kerja-kerja sosial, beliau berkata paling diingatinya ialah bertugas di Home Surveilance Centre (HSC) di Institut Aminuddin Baki, Jitra, Kedah ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan masyarakat menjalani Perintah Kawalan Pergerakan.
Tugasnya bukan mudah; perlu menyelaras pelbagai agensi, menguruskan pendaftaran individu di bawah pengawasan (PUS), memastikan kebersihan dan memantau pematuhan prosedur operasi standard, selain membantu menyelaraskan penghantaran makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Walaupun kerja akademik berjalan seperti biasa, saya terima tanggungjawab itu dengan hati terbuka. Ini adalah amanah untuk negara. Kita semua ada peranan masing-masing dalam menamatkan penularan wabak,” jelasnya.
Peranan yang dimainkan oleh beliau ketika itu turut menyaksikannya dianugerahi Pingat Bakti Pertahanan Awam pada 2021 sebagai penghargaan atas sumbangan dan jasanya.
“Ilmu dan pangkat tidak bermakna jika kita tidak kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya lagi, menutup bicara.- Bernama