Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Bagaimana Brooke buang Datuk Patinggi Abdul Ghapur ke Makkah dan Melaka
  • KOLUMNIS

Bagaimana Brooke buang Datuk Patinggi Abdul Ghapur ke Makkah dan Melaka

Utusan Sarawak 15 hours ago

(Bahagian Kedua)

SEBELUM ini, wacana ini telah menghuraikan secara ringkas latar belakang Datuk Patinggi Abdul Ghapur. 

Beliau dikenalpasti sebagai seorang pembesar yang setia kepada kerajaan, namun tetap dicurigai oleh pihak pemerintahan Brooke. 

Bahkan, sebilangan pembesar Melayu lain turut beranggapan bahawa beliau mempunyai niat untuk menentang kerajaan Brooke.

Datuk Patinggi Abdul Ghapur

Bagaimanapun, tuduhan-tuduhan tersebut tidak pernah dibuktikan kebenarannya. Kekhuatiran kerajaan Brooke terhadap pengaruh dan kekuatan beliau yang memiliki ramai pengikut mendorong usaha untuk melemahkan kedudukannya sebagai Datuk Patinggi.

Akhirnya, beliau telah disoal siasat dan dijatuhkan hukuman pembuangan ke Makkah. Jawatan beliau sebagai Datuk Patinggi turut dilucutkan. 

Tindakan kerajaan Brooke yang memalukan Datuk Patinggi Abdul Ghapur itu diterima dengan penuh kesabaran. Beliau akur terhadap segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya dan bersetuju untuk berangkat ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji.

Kembali

Setelah kira-kira dua tahun meninggalkan Sarawak, iaitu sekitar tahun 1856, Abdul Ghapur dilihat seolah-olah kembali bersemangat untuk membela tanah airnya. 

Raja James Brooke menerima kehadiran beliau ke Sarawak dan memberi gelaran Datuk Haji kepada Abdul Ghapur.   

Dalam hal ini Raja James Brooke dilihat seakan-akan menerima semula kepulangannya ke Sarawak dan melantiknya sebagai salah seorang pembesar Melayu di Kuching. 

Namun, gelaran yang diberikan kepadanya hanyalah bersifat simbolik dan tidak disertai dengan sebarang kuasa atau fungsi pentadbiran, sekadar sebagai tanda penghormatan semata-mata.

Perkembangan ini tidak melunturkan sebarang kesangsian kepada niat Abdul Ghapur untuk melawan kerajaan Brooke. Malah, keadaan menjadi semakin merisaukan Raja James Brooke apabila timbul desas-desus bahawa terdapat usaha dalam kalangan penduduk tempatan untuk mengusir beliau dari Sarawak.

Keadaan di Banjarmasin wilayah kawalan Belanda juga mengalami konflik ketara. Ini ditambah dengan berita tentang pembunuhan orang Barat di wilayah penguasaan Belanda. 

Oleh itu kerisauan ini juga dikongsi oleh pihak Belanda. Ketakutan kuasa Barat semakin kuat apabila meletusnya Dahagi India.

Perancangan

Perkembangan ini menunjukkan satu ketakutan dalam kalangan orang Barat tentang kebangkitan penduduk tempatan di Borneo ke atas mereka.  

Charles Brooke

Anak saudara Raja James Brooke iaitu Charles Brooke juga berkongsi tanggapan negatif terhadap Datu Abdul Ghapur, kerana mempunyai hubungan rapatnya dengan Sharif Masahor yang ketika itu dianggap sebagai ancaman utama terhadap kekuasaan Brooke di Sarawak.

Berita-berita mengenai wujudnya pakatan untuk menggulingkan kerajaan Brooke menyebut penglibatan Datuk Abdul Ghapur bersama-sama Sharif Masahor dan Bandar Kassim dalam usaha menentang pemerintahan tersebut. 

Sharif Masahor yang pada asalnya merupakan Gabenor Sarikei telah dilucutkan jawatannya oleh kerajaan Brooke.

Tuduhan

Seperti Datuk Abdul Ghapur, Sharif Masahor juga tidak menunjukkan sebarang tanda yang jelas untuk menentang pemerintahan Brooke.

Malahan, beliau turut menyokong usaha pihak Brooke dalam mencari pembunuh Charles Fox dan Henry Steele di Kanowit. 

Sementara itu, Bandar Kassim yang pada asalnya mentadbir kawasan Sadong telah dituduh mengamalkan penindasan terhadap penduduk di wilayah pemerintahannya.

Beliau telah dilucutkan jawatan dan digantikan oleh adiknya, Abang Leman. Namun, Abang Leman kemudiannya turut digugurkan daripada jawatan tersebut setelah dituduh melakukan kesalahan sama seperti abangnya. 

Di sebalik pelucutan jawatan Abang Leman yang dikatakan melakukan kekejaman terhadap penduduknya, terdapat hubungan kekeluargaan antara beliau dengan Datuk Abdul Ghapur.

Dalam hal ini, Abang Leman merupakan menantu kepada Datuk Abdul Ghapur. Keadaan ini menggambarkan wujudnya hubungan kekeluargaan yang tidak disenangi oleh kerajaan Brooke. 

Situasi yang hampir sama turut berlaku kepada Sharif Masahor, di mana adiknya telah berkahwin dengan anak kepada Datuk Abdul Ghapur.

Tindakan kerajaan Brooke ini mempunyai motif jelas untuk menyingkirkan pemerintah tempatan yang diragui kesetiaannya di beberapa kawasan di Sarawak.  

Tuduhan demi tuduhan dibuat untuk melucut jawatan mereka kerana risau pengaruh mereka yang mungkin dapat digunakan melawan kerajaan Brooke.

Beberapa lagi nama yang dituduh bersama Datu Abdul Ghapur melawan kerajaan Brooke ini adalah Nahkoda Dulah. Beliau dikatakan cuba membawa orang Lundu untuk melakukan pemberontakan. 

Pada masa sama, Brunei juga dikatakan memberi sokongan kepada usaha penyingkiran pemerintah Brooke di Sarawak. Dalam tuduhan dibuat, ada kemungkinan kumpulan-kumpulan tertentu di Brunei yang terlibat dalam usaha penghapusan kerajaan Brooke.

Pakatan

Tuduhan-tuduhan tentang komplot ini tidak terhad di Sarawak tetapi mempunyai kaitan dengan penduduk tempatan di wilayah penguasaan Belanda.  

Kerajaan Belanda mengetahui usaha ini dan melakukan risikan tentang kegiatan mereka ini. Berita tentang komplot ini menjadi amaran kepada kerajaan Brooke.

Oleh itu, kerajaan Brooke mula memerhati dengan teliti setiap tindak-tanduk Datuk Abdul Ghapur. Ketika beliau menjalankan urusan perdagangan di Sarikei, beliau telah dituduh cuba menunjukkan kesetiaan terhadap Sharif Masahor.

Sekembalinya dari Sarikei, Datu Abdul Ghapur mula berjumpa dengan pengikutnya dalam kalangan orang Bidayuh. Dikhabarkan perjumpaan itu untuk menyusun strategi melawan Raja James Brooke.  

Terdapat tuduhan mengatakan beliau memaksa dan mengancam penduduk Bidayuh untuk bersama-sama beliau melawan pemerintah Brooke. Berita mengenai perkara ini telah disampaikan oleh Datuk Temenggung kepada Tuan Muda.

Dalam hal ini menunjukkan betapa berpengaruhnya Datu Abdul Ghapur apabila pemimpin-pemimpin Melayu yang setia kepada kerajaan Brooke tidak mampu melawan beliau apabila diminta.  

Mereka hanya memerlukan sokongan dari kerajaan Brooke dalam usaha menundukkan Datu Abdul Ghapur.

Dengan sokongan ini kerajaan Brooke mula bersiap sedia untuk menghalau Datuk Abdul Ghapur termasuk Nahkota Dulah. Usaha ini diketahui oleh Datuk Abdul Ghapur melalui ahli keluarganya, dan menyuruh beliau melarikan diri dari Kuching.

Penyingkiran

Usaha menundukkan Datuk Abdul Ghapur dilakukan dengan teliti. Satu persatu pengikut beliau diasingkan daripadanya termasuk Bandar Kassim.  

Bayang salah seorang lagi penyokong Datu Abdul Ghapur dalam kalangan orang Dayak telah ditangkap dan dipenjarakan.

Akhirnya, Datuk Abdul Ghapur berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa. 

Terdapat dua pandangan berbeza mengenai kesudahan perjuangan beliau menentang pemerintahan Brooke. Sebahagian sumber menyatakan bahawa beliau telah ditangkap oleh pihak Belanda dan dibuang ke Betawi. 

Namun, terdapat juga pendapat lain yang mengatakan bahawa beliau ditangkap oleh kerajaan Brooke dan diberi pilihan sama ada untuk dibuang ke Melaka atau ke Pulau Pinang.

Beliau akhirnya memilih untuk dihantar dan menetap di Melaka. Pembuangan kali kedua ini menandakan berakhirnya kisah penentangan beliau terhadap pemerintahan Brooke. 

Malahan, nama beliau seolah-olah tenggelam dan dilupakan dalam lipatan sejarah perjuangan menentang Brooke. 

Namun demikian, keturunannya pada hari ini sedang berusaha membina semula naratif tentang kehidupan dan peranan beliau selepas dibuang ke Melaka.

Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, FakultiSains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Fungsi sayap pesawat, gaya reka bentuk

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.