
LUBOK ANTU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lubok Antu hari ini melaksanakan bantuan pengangkutan bagi murid asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kesit menyeberangi Sungai Subong setelah jambatan gantung utama di kawasan itu ditutup untuk kerja-kerja baik pulih.
Pegawai APM Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata, bantuan tersebut dilaksanakan bagi memastikan keselamatan murid yang perlu menyeberang sungai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti persekolahan.

Menurutnya, penutupan jambatan gantung itu telah menyebabkan laluan utama penduduk dan pelajar terjejas, sekali gus memerlukan bantuan logistik daripada pihak APM untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
“Pasukan kami telah digerakkan ke kawasan Lubok Subong sejak awal pagi tadi bagi membantu murid menyeberang sungai dengan selamat.
“Proses ini dilaksanakan dengan pemantauan rapi dan langkah keselamatan yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Desem, operasi bantuan pengangkutan tersebut turut mendapat kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan penduduk kampung yang memainkan peranan penting memastikan semua murid sampai ke destinasi masing-masing tanpa sebarang masalah.
Operasi berjalan lancar dan terkawal sepanjang hari dengan keadaan cuaca yang baik serta paras air sungai yang selamat untuk aktiviti menyeberang. Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan semasa operasi dijalankan.
APM Lubok Antu menggesa orang ramai agar menghubungi talian pejabat 083-584639 atau talian kecemasan 999 sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan bantuan sewaktu berdepan keadaan berisiko di kawasan sungai dan pedalaman.
Oleh Adi Safarman