
BINTULU: Golongan belia digesa untuk merebut peluang mendapatkan lesen motosikal kelas B2 pada harga lebih rendah menerusi Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen Motosikal Kelas B2 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, program itu menawarkan bayaran hanya RM250 seorang, berbanding harga biasa sekitar RM680.
Program ini bagi membantu meringankan beban kewangan belia selain menggalakkan mereka memiliki lesen sah dan memandu dengan lebih berhemah.
“Kebiasaannya lesen motosikal kelas B2 berharga sekitar RM680, namun melalui inisiatif ini, bayaran hanya RM250 seorang.
“Tarikh tutup permohonan adalah 27 Oktober ini dan saya harap golongan belia di Bintulu, khususnya di DUN Tanjong Batu, tidak melepaskan peluang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis penyerahan peralatan bagi Unit Kardiak Hospital Bintulu, di sini, hari ini.
Ujarnya, Program BLM MyLesen merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperluas akses kepada latihan pemanduan sah dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.
Oleh Carolyne Utih