
MIRI: Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Miri telah melakukan serbuan ke atas salah satu premis di Tudan selepas menerima aduan awam berhubung penjualan Gas Petroleum Cecair (LPG) melebihi harga maksimum runcit LPG bersubsidi.
Serbuan itu dilakukan hasil siasatan terhadap aduan yang tular di laman sosial Facebook baru-baru ini.
Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan disyaki menjual barang kawalan itu pada harga yang lebih tinggi daripada yang dibenarkan.
Menurut kenyataan KPDN Miri, tindakan kes diambil di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, yang memperuntukkan hukuman terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan harga barang kawalan.

KPDN Miri turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati dan mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengamalkan amalan perniagaan beretika.
Bagi memastikan kelancaran penguatkuasaan, orang ramai digalakkan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat atau aduan mengenai salah laku peniaga.
Aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp Aduan Pengguna di talian 019-8488000, portal eaduan.kpdn.gov.my, talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
Oleh Liong Chai Ling