
KUCHING: Lembaga Tabung Haji (TH) Sarawak hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.92 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di bawah Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di negeri ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, penyerahan zakat itu akan disampaikan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis khas pagi tadi.
“Jumlah yang akan diserahkan kepada Premier Sarawak ialah sekitar RM1.92 juta.
“Ini merupakan zakat perniagaan Lembaga Tabung Haji Sarawak untuk diagihkan oleh Majlis Agama Islam Sarawak kepada asnaf-asnaf di negeri ini.
“Selain itu, TH turut memperuntukkan RM1.2 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diambil daripada wakalah zakat untuk Sarawak,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Tambah beliau, daripada jumlah RM1.2 juta itu, sebahagiannya disalurkan kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi membantu pelajar-pelajar asnaf, manakala sebahagian lagi digunakan untuk pembinaan rumah bagi lapan penerima manfaat.
“Baki dana tersebut digunakan untuk pelbagai program komuniti dan agihan tunai kepada golongan asnaf lain di negeri ini.
“Menyentuh mengenai kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, agenda utama hanyalah untuk menyerahkan mock cek berjumlah RM1.92 juta kepada Premier Sarawak.
“Namun, mungkin akan ada perbincangan sampingan berkaitan urusan haji sekiranya dibangkitkan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai isu kemanusiaan di Palestin, menggesa agar rakyat Malaysia terus bersolidariti dan berdoa untuk kesejahteraan rakyat negara berkenaan.
“Isu Palestin bukan hanya isu agama, tetapi isu kemanusiaan. Islam tidak pernah mengizinkan kezaliman terhadap mana-mana bangsa.
“Saya amat menghargai sokongan semua pihak termasuk kepimpinan negeri dan rakyat Malaysia yang sentiasa bersama dalam perjuangan kemanusiaan rakyat Palestin.
“Doa ialah senjata orang beriman. Tidak semua mampu ke Gaza, tetapi setiap usaha dan doa kita tetap dikira sebagai perjuangan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah & Shahrul Qaizat