KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak telah mengadakan Task Force Program Pendaftaran Perniagaan dan Lesen Dagangan Usahawan Wanita Sarawak (PUWaS) untuk membantu usahawan wanita tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.
Menterinya, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, ia merupakan satu langkah proaktif kolaborasi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) bersama Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pejabat daerah.
“Fokus utama adalah konsultasi pendaftaran perniagaan dan lesen dagangan yang disyaratkan oleh agensi berkaitan, bagi membolehkan usahawan wanita mendapatkan lesen dan permit.
“Usaha ini untuk membantu usahawan wanita yang tercicir daripada Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2.0 dan Geran Khas Prihatin (GKP) yang mensyaratkan pemohon memiliki lesen dan permit perniagaan kerana kita menyedari ramai usahawan wanita tercicir daripada menerima bantuan tersebut ekoran tidak memiliki lesen dan permit perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Wanita peringkat Sarawak tahun 2020 bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sabtu lalu.
“Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan, sejak 9 Julai sehingga 24 Ogos lalu, sebanyak 4,190 permohonan pendaftaran program PUWaS bagi seluruh Sarawak diterima.
“Setakat ini, sebanyak tiga sesi dilaksanakan dan program ini akan diteruskan di daerah lain,” jelasnya.
Tambahnya, geran tersebut bermula dengan RM500,000 untuk 2018, RM1 juta untuk 2019 dan seterusnya RM2 juta untuk 2020 bertujuan untuk memperkasakan lebih ramai wanita dalam bidang ekonomi.
“Pada tahun ini, disebabkan pandemik Covid-19, kementerian mendapat kelulusan Ketua Menteri untuk menukarkan geran tahun ini kepada bentuk tunai sebagai modal pusingan bernilai RM2,000 bagi setiap usahawan wanita Sarawak yang perniagaannya terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Perubahan dalam pendekatan pemberian geran adalah hasil survei yang dijalankan ke atas 415 responden usahawan wanita, yang mana survei menggambarkan bahawa ramai usahawan wanita terkesan semasa PKP dan modal pusingan perniagaan amat diperlukan pada waktu ini
“Dengan perubahan pendekatan ini, geran RM2 juta akan memanfaatkan seramai 1,000 usahawan wanita bagi tujuan meneruskan perniagaan mereka setakat 30 Julai lalu, JWKS menerima sebanyak 10,921 permohonan untuk geran khas usahawan wanita,” ujarnya.
Oleh Zarina Abdullah