
KUCHING: Bengkel Asas Lutong 2025 anjuran Bungan Creative berjaya membuka lembaran baharu dalam usaha menghidupkan semula warisan muzik tradisional Lutong masyarakat Orang Ulu, sekali gus menyemarakkan semangat pelestarian seni di Sarawak.
Bengkel selama dua hari yang berlangsung pada 11 dan 12 Oktober di BC Studio, Sarawak Plaza itu menghimpunkan seramai 31 peserta terdiri daripada penggiat seni, pelajar dan komuniti muda pelbagai latar belakang untuk mengikuti sesi latihan intensif memperkenalkan semula permainan alat muzik tradisional Lutong, alat yang suatu ketika dahulu dimainkan oleh wanita Orang Ulu sebagai pengiring kepada muzik ‘Sape’.
Menariknya, bengkel tersebut menampilkan Aunty Pang Selong, pemain Lutong berpengalaman dari Long Semiyang, Baram, sebagai jurulatih utama.
Beliau merupakan antara individu terakhir yang masih aktif memainkan alat muzik tradisi ini, menjadikan kehadirannya amat signifikan dalam usaha mendokumentasikan kembali seni permainan Lutong yang kian jarang ditemui.
Program turut diketuai oleh Elizabeth Bungan Peter, penerus legasi permainan Lutong serta penggerak utama Bungan Creative, dibantu oleh Saudara Martinus Jok, tenaga pengajar muzik tradisi tempatan.
Sebanyak tiga lagu rakyat Orang Ulu telah dijadikan sukatan pelajaran rasmi sepanjang bengkel berlangsung, merangkumi latihan teori asas, teknik permainan dan persembahan berkumpulan.
Warisan yang Hidup Dalam Nafas Anak Muda
Pengarah Program, Elizabeth Bungan menegaskan bahawa Bengkel Asas Lutong bukan sekadar latihan muzik, tetapi usaha dokumentasi dan pemulihan warisan yang hampir pupus.
“Program seperti ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kasih dan keikhlasan terhadap warisan bangsa. Hari ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang kehidupan dan nafas panjang sebuah warisan yang dikenali,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua tenaga pengajar, peserta serta rakan-rakan seni yang bersama menjayakan program tersebut termasuk wakil daripada Serakup Budaya dan Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK) yang bertindak sebagai pembantu jurulatih.
Menurut beliau lagi, Lutong bukan hanya alat muzik, tetapi simbol perjuangan bersama untuk mengangkat seni tradisional Sarawak ke tempat sewajarnya.
“Apabila kita duduk dan belajar bersama, ia menjadi ruang antara generasi lama dan baharu. Tanpa mengira latar kaum atau agama, kita bersatu melalui seni,” katanya sambil menambah bahawa Bungan Creative akan menerbitkan dokumentari khas dan siri lanjutan bengkel pada tahun depan bagi meneruskan kesinambungan pemeliharaan muzik tradisi Orang Ulu.

MSS Komited Perkasa Seni Tradisi
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS), Awang Ikman Awang Sepian menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Bungan Creative memelihara seni muzik tradisi negeri.
“Saya amat berbangga melihat pelbagai kaum hadir bersama dan inilah keindahan sebenar warisan Sarawak. MSS akan terus menjadi platform kepada seniman dan penggiat budaya untuk berkarya, mempamerkan hasil seni dan memperkenalkan warisan kepada masyarakat umum,” katanya.
Beliau turut menjemput orang ramai menghadiri Festival Kesenian Sarawak yang akan berlangsung pada 12 hingga 16 November ini, bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam, yang bakal menampilkan pelbagai bentuk seni tempatan termasuk Lutong.
“Kita perlu mengekalkan keaslian sambil memperkenalkan elemen kontemporari supaya generasi muda terus tertarik tanpa mengorbankan nilai asal warisan itu. Inilah cara kita memastikan budaya Sarawak kekal hidup dan relevan,” ujarnya lagi.
Penyerahan Lutong Warisan 13 Tahun: Simbol Cinta dan Kepercayaan
Kemuncak majlis penutupan diserikan dengan penyerahan simbolik sebuah alat muzik Lutong berusia lebih 13 tahun oleh Aunty Pang Selong kepada pihak Bungan Creative.
Alat muzik yang diperbuat sepenuhnya daripada kayu belian itu dihasilkan oleh arwah suami beliau sendiri, menjadikannya simbol kasih, ketahanan dan kehalusan seni yang mendalam.
“Lutong ini bukan sebarang alat muzik. Ia istimewa kerana dihasilkan dengan penuh kasih sayang oleh suami saya. Walaupun tidak mudah untuk saya menyerahkannya, namun saya percaya Elizabeth akan meneruskan legasi seni ini dengan baik,” katanya sebak.
Beliau menambah, penyerahan itu menandakan kepercayaannya bahawa seni Lutong akan terus hidup dan dimainkan oleh generasi baharu.
“Semoga setiap persembahan selepas ini menjadi tanda bahawa seni ini tidak berakhir di sini, sebaliknya bermula semula hidup, berkembang dan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya mengakhiri ucapan dengan penuh emosi.
Oleh Shikin Mahmud