
SIMANGGANG: “Sudah tiba masanya Sarawak perlukan pelapis seperti saya, terutamanya dari Sri Aman, yang dapat mencapai pencapaian lebih tinggi daripada saya satu hari kelak,” demikian gesaan penuh inspirasi daripada ikon tinju negara, Daeloniel McDelon Bong atau lebih dikenali sebagai ‘Kilat Boy’.
Anak jati Sri Aman itu mula menceburi arena tinju sejak 2014, dengan penampilan pertama dalam pertandingan pada tahun berikutnya ketika masih di bangku sekolah. Sejak menjuarai kejohanan pertamanya dan meraih emas, bintang muda ini terus menonjol hingga dipilih menyertai kejohanan pelapis peringkat Borneo.
“Selepas perlawanan kedua saya, Alhamdulillah, saya dipanggil untuk pasukan Sarawak pada 2017. Sejak itu saya menyimpan hasrat untuk menjadi juara dunia satu hari nanti,” katanya semasa berucap pada Majlis Malam Penghargaan TBBC Sri Aman, dekat sini malam tadi.

Pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, Kilat Boy pertama kali mewakili Sarawak namun tewas di final dan hanya membawa pulang pingat perak. Tidak berputus asa, beliau bangkit semula dengan menjuarai Piala Malaysia 2019 di Paroi, Negeri Sembilan sebelum menebus kekecewaan dengan pingat emas SUKMA 2022.
Kilat Boy turut menitipkan pesanan buat para petinju muda agar tidak hanya mengejar kejayaan di gelanggang, tetapi juga memberi tumpuan kepada pelajaran.
“Jangan lupa tentang pelajaran. Satu hari nanti, kita boleh berjaya bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi juga dalam pelajaran,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan agar setiap kejayaan disertai rasa syukur dan tidak melupakan asal-usul.
“Selepas kita berjaya satu hari kelak, jangan lupa dari mana kita datang, jangan lupa jurulatih dan ibu bapa yang sentiasa mendoakan kita,” tambahnya.
Katanya lagi, pesanan ibunya sentiasa menjadi pegangan hidupnya hingga kini.
“Setiap apa yang kita buat, buatlah dengan sehabis baik,” katanya.
Mengulas mengenai Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman, Kilat Boy menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan kelab itu yang kini semakin maju.
“Pertama kali saya datang ke gimnasium TBBC di Kampung Tengah, Simanggang, keadaannya serba kekurangan. Tapi sekarang, di lokasi baharu, TBBC Sri Aman sudah berubah drastik dengan fasiliti lengkap,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada petinju-petinju muda Sri Aman yang aktif berlatih dan menyertai pelbagai kejohanan, sambil yakin bahawa Sri Aman akan terus melahirkan lebih ramai juara.
“Tidak mustahil kalau satu hari nanti, salah seorang daripada petinju TBBC Sri Aman mampu berdiri di tempat saya berada sekarang,” ujarnya penuh keyakinan.
Menjelang Twins Championship 103 yang bakal berlangsung di Sri Aman November ini, Kilat Boy menyeru petinju-petinju muda untuk memberi persembahan terbaik.
“Pada kejohanan nanti, akan ada ‘promoter’ yang menilai petinju untuk diserap ke peringkat profesional. Jadi, tunjukkan kemahiran anda, mantapkan teknik dan teruskan latihan sekurang-kurangnya empat kali seminggu,” pesannya.
Sementara itu, Presiden TBBC Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari berkata kelab kini melangkah ke fasa pembangunan baharu menerusi pelan Hala Tuju TBBC 2024-2030: Menuju Kecemerlangan.
Antara fokus utama termasuk, melahirkan petinju elit ke pentas kebangsaan dan antarabangsa, menyeimbangkan pencapaian akademik dan sukan, mendapatkan pusat latihan kekal yang lebih besar dan selamat, menjadikan Sri Aman sebagai lokasi utama penganjuran kejohanan tinju, membina jaringan strategik dengan agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat dan menjadikan sukan tinju sebagai simbol kesihatan, disiplin dan perpaduan komuniti.
“Kita bukan dilahirkan sebagai juara, tetapi dibentuk melalui disiplin, semangat dan keberanian untuk terus bangkit walau terjatuh,” katanya.
Beliau menutup dengan semangat juang yang menjadi identiti TBBC.
“Setiap peluh di gelanggang adalah bukti perjuangan. Setiap kekalahan adalah guru. Setiap kemenangan adalah hasil kepercayaan antara jurulatih, rakan seperjuangan dan keluarga.
“Marilah kita terus melangkah dengan semangat ‘I Will, I Can’ yang membawa nama Sri Aman, membanggakan Sarawak dan mengharumkan Malaysia,” jelasnya.
Oleh Adi Safarman