SIMANGGANG: Bahagian Sri Aman mengalami proses pembangunan yang perlahan berbanding bahagian baharu meskipun kawasan pentadbiran ini dianggap ‘senior’ kerana sudah wujud pada era Rajah dan kolonial dahulu.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata keadaan itu berlaku kerana potensi yang ada di Bahagian Sri Aman selama ini belum berupaya digilap dan tidak mendapat peluang yang secukupnya.
“Pentadbiran baharu seperti Bintulu misalnya mengalami proses pembangunan yang lebih laju berbanding Sri Aman kerana bahagian ini mempunyai sumber yang banyak di perut bumi.
“Tambahan pula ramai anak Sri Aman berhijrah ke tempat lain seperti Bahagian Kuching, Bintulu dan lain-lain untuk mencari peluang pekerjaan atau berniaga,” katanya.
Ketua Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Mesra sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2020 di Hotel Seri Simanggang di sini malam tadi.
Berlatar belakangkan hakikat tersebut, katanya, Kerajaan Sarawak mempunyai iltizam untuk mempastikan kawasan Sri Aman mampu bergerak seiring dengan kawasan lain yang sudah berada di hadapan.
Kata beliau lagi, Sri Aman harus mendapat suatu suntikan baharu dari segi kemudahan infrastruktur bagi memastikan bahagian ini mampu bergerak bersama dalam arus pembangunan dengan kawasan lain di Sarawak.
“Antara suntikan itu adalah pembinaan jaringan Lebuh Raya Kedua yang melewati Sri Aman melalui Sebuyau dan Lingga dan terus ke Roban dengan projek ini nanti bakal menghidupkan suasana ekonomi yang lebih ‘vibrant’ bagi kawasan ini.
“Lagi pun usaha untuk memajukan Sri Aman akan digembleng melalui satu perancangan induk yang dipanggil Sri Aman Development Area atau SADA bagi mencari jalan untuk mengangkat pembangunan ekonominya secara menyeluruh,” kata beliau.
Abang Johari turut menambah Sri Aman memiliki potensi dari segi pertanian seperti tanaman nenas dan padi bagi tujuan eksport namun perlu dilaksana secara sistematik menggunakan teknologi dan kaedah pemasaran baharu.
“Sri Aman juga mempunyai potensi yang baik dari segi sektor pelancongan dengan adanya tempat seperti Empangan Batang Ai, ‘Culture and Nature Tourism’ di Skrang dan Batang Lemanak, Orang utan di Taman Negara Batang Ai, Benak Sungai Batang Lupar, kehidupan liar di Taman Negara Maludam dan banyak lagi.
“Pendek kata saya amat berharap agar jajaran lebuh raya baharu ini nanti akan dapat membuka kawasan Sri Aman kepada aktiviti pertanian dan pelancongan secara lebih intensif demi memberi manfaat kepada adik kakak kita di sini kelak,” kata beliau.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pembangunan dan Perindustrian, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang dan ADUN Lingga, Simoi Peri.
Oleh Valentine Ngumbang