
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, menegaskan komitmen kerajaan negeri memperkukuh rawatan kanser di Borneo melalui pembinaan hospital kanser baharu yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kemudahan perubatan moden.
Beliau berkata, hospital tersebut dirancang sebagai ‘future-proof AI hospital’, seiring dengan hasrat Sarawak melangkah ke era digital dalam bidang kesihatan dan dijangka menjadi antara pusat rawatan kanser tercanggih di rantau ini menjelang 2030.
“Kita mahu hospital yang benar-benar bersedia untuk masa depan, bukan sekadar moden pada masa ini.
“Dengan perkembangan AI dan digitalisasi, hospital baharu ini perlu dirancang agar kekal relevan untuk generasi akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Persidangan Ke-3 Kanser Hati, Pankreas dan Saluran Hempedu Borneo di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurut beliau, pembinaan hospital berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan negeri bagi memperkukuh autonomi kesihatan Sarawak serta memperluas akses kepada rawatan kanser yang menyeluruh dan berkualiti tinggi.
Dalam ucapannya pada persidangan tersebut, Dr. Sim menegaskan bahawa kerjasama pelbagai disiplin perubatan menjadi kunci utama dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan kualiti rawatan pesakit kanser hati, pankreas dan saluran hempedu.
Beliau berkata, sejak penubuhan pasukan multidisiplin (MDT) di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 2021, negeri ini telah mencatat kemajuan ketara dalam pengurusan pesakit kanser berkenaan.
“HUS kini satu-satunya hospital di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan kanser hepatobiliari secara menyeluruh di bawah satu bumbung. Ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.
Sepanjang 2024 sahaja, HUS melaksanakan lebih 1,000 prosedur endoscopic retrograde cholangiopancreatography (ERCP), 380 endoskopi ultrabunyi serta lebih 80 pembedahan kanser — menjadikannya antara pusat rawatan teraktif di negara ini.
Dr. Sim turut menambah bahawa Sarawak kini diiktiraf sebagai antara pusat onkologi utama di Malaysia dengan lebih 100 kajian klinikal dijalankan, termasuk enam kajian ‘first-in-human’ yang membuka peluang kepada pesakit untuk menerima rawatan inovatif bertaraf antarabangsa.
Beliau turut mengakui kekangan logistik, kekurangan tenaga kerja dan waktu menunggu pembedahan yang panjang masih menjadi cabaran utama.
“Sarawak berdepan risiko tinggi penyakit hati akibat hepatitis B dan C serta kadar obesiti yang meningkat. Usaha kesedaran awam dan saringan awal amat penting bagi mengekang peningkatan kes kanser hati,” jelasnya.
Oleh Adele Rissa