Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Pereka duo Brunei-Malaysia martabat warisan Bisaya di pentas peragaan
  • NASIONAL

Pereka duo Brunei-Malaysia martabat warisan Bisaya di pentas peragaan

Utusan Sarawak 2 days ago
KOLEKSI fesyen kontemporari berasaskan warisan etnik Bisaya mencuri perhatian di pentas pentas Borneo Fashion Week (BFW) 2025 baru-baru ini apabila mengetengahkan elemen tradisional masyarakat pribumi Borneo itu dengan sentuhan moden yang segar dan berani. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Koleksi fesyen kontemporari berasaskan warisan etnik Bisaya mencuri perhatian di pentas Borneo Fashion Week 2025 baru-baru ini apabila mengetengahkan elemen tradisional masyarakat peribumi Borneo itu dengan sentuhan moden yang segar dan berani.

Duo pereka fesyen dari Brunei dan Malaysia, Zulhelmi Kamaluddin dan Fikri Afif Daud, tampil dengan 15 persalinan eksklusif di bawah label Bilang, menampilkan kelainan menerusi perincian seperti kerongsang berbentuk kupu-kupu serta hiasan tradisional badal-badal menggunakan teknik tampalan halus.

Setiap rekaan disuntik dengan gaya siluet moden dan kontemporari, selain penggunaan gabungan warna hitam dan merah yang merupakan rona sinonim dengan pakaian tradisional Bisaya yang turut menjadi identiti utama koleksi berkenaan.

Selain membawa estetika segar ke pentas fesyen, duo kreatif ini turut beraspirasi memartabatkan budaya etnik Bisaya di peringkat serantau serta memperkenalkannya kepada generasi muda, khususnya yang mungkin belum mengenali warisan etnik tersebut yang berasal dari Brunei serta kawasan utara Sarawak seperti Limbang dan Lawas.

“Warisan budaya mereka kaya dan unik namun kurang dikenali dalam kalangan masyarakat setempat serta serantau,” kata Zulhelmi kepada Bernama selepas persembahan fesyen tersebut.

Menurut Zulhelmi lagi, pendekatan yang digunakan dalam koleksi ini bukan sekadar mengekalkan elemen tradisional, malah turut menggabungkan elemen moden untuk menarik minat pasaran lebih luas.

“Jadi, sebagai pereka, kami mahu membawa elemen ini untuk dikenali lebih luas terutama di negara-negara serumpun seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Rekaan koleksi ini juga memperlihatkan busana dengan struktur yang lebih berani serta siluet yang diolah kepada gaya lebih urban, selari dengan cita rasa golongan muda dan penggemar fesyen masa kini.

Fabriknya pula tidak terkecuali daripada elemen warisan termasuk penggunaan kain songket  yang disesuaikan ke dalam gaya yang lebih segar dan relevan.

Bagi Fikri, koleksi tersebut bukan sahaja membawa nilai estetika tetapi juga menjadi platform untuk mengetengahkan naratif budaya yang lebih mendalam.

“Kami ingin koleksi ini menjadi penghormatan kepada warisan Bisaya dengan membawa naratif silang budaya antara Brunei dan Sarawak. Ia bukan sekadar pakaian, tetapi medium untuk berkongsi cerita dan kemahiran budaya yang mungkin kurang diketahui,” katanya.

-BERNAMA

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Projek SALAM hubungkan Johor, Sarawak dan Sabah melalui laluan dasar laut
Next: PM jamin lindungi pihak yang tegas banteras rasuah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.