
KUCHING: Projek Jalan Raya Pesisir Pantai sepanjang 896 kilometer dijangka siap sepenuhnya pada 2027 dengan kos RM5.42 bilion.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, projek itu akan menjadi antara pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi luar bandar serta memperkukuh jaringan pengangkutan darat negeri.
“Projek mega itu akan menghubungkan kawasan pesisir dari Kota Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Kabong, Tanjung Manis, Daro, Matu, Igan, Oya, Mukah, Balingian, Bintulu hingga ke Miri, sebelum bersambung dengan Lebuh Raya Pan Borneo.
“Apabila siap kelak, laluan itu akan membuka lebih banyak peluang ekonomi baharu, khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Tambah beliau, selain projek itu, kerajaan negeri turut membangunkan Jalan Utama Kedua sepanjang 225 kilometer, yang akan memendekkan jarak serta masa perjalanan antara Sibu dan Kuching.
“Projek STR dijangka siap pada 2028 dengan kos RM5.58 bilion.
“Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) sepanjang 335 kilometer dengan kos RM7.6 bilion juga sedang dilaksanakan bagi memudahkan pergerakan antara Miri, Limbang dan Lawas terus ke Sabah tanpa melalui Brunei.
“Selain itu, kerajaan turut menaik taraf jalan-jalan balak di kawasan pedalaman, terutamanya di Kapit dan Ulu Baram, bagi memastikan akses jalan raya yang lebih baik kepada penduduk luar bandar,” ujarnya.
Semua projek tersebut akan memperkukuh keterhubungan di seluruh negeri serta membuka potensi ekonomi baharu bagi rakyat Sarawak.
Oleh Masrin Affirah / Shikin Mahmud