

RAMAH MESRA… Tun Wan Junaidi bersama Toh Puan Fauziah beramah mesra, bersalaman dan bergambar bersama tetamu ketika beredar keluar selepas Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-79 TYT Tun Pehin Sri Wan Junaidi di Hotel Imperial Kuching, malam tadi.
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar disifatkan sebagai lambang perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Tun Wan Junaidi bukan sahaja merupakan Ketua Negeri, malah seorang tokoh penyatu yang sentiasa dekat di hati rakyat serta mengamalkan pendekatan mesra rakyat tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan.
“Tun telah menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat dengan berinteraksi secara langsung bersama pelbagai lapisan masyarakat.
“Beliau sering mengunjungi pasar dan menikmati sarapan di kopitiam bagi mendekati rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-79 TYT Tun Pehin Sri Wan Junaidi, di Hotel Imperial Kuching, malam tadi.
Tambahnya, khidmat bakti Tun Wan Junaidi sebagai penjawat awam dan ahli politik membuktikan sumbangan besar beliau terhadap keselamatan serta kedaulatan Sarawak, termasuk dalam memperjuangkan hak negeri berasaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tun bukan sekadar Ketua Negeri, malah seorang figura penyatu dan ‘bapa’ kepada seluruh rakyat Sarawak.
“Rakyat Sarawak wajar terus memperkukuh semangat perpaduan dan saling memahami antara satu sama lain demi mengekalkan keharmonian negeri,” ujarnya.
Majlis itu sekali gus mencerminkan nilai kemanusiaan dan semangat perpaduan yang terus menjadi tunjang kekuatan serta keharmonian Sarawak.
Oleh Amanda L.