
KRIAN: Penduduk di tiga rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian kini boleh menarik nafas lega apabila projek bekalan elektrik baharu dan kerja pendawaian semula mula dilaksanakan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan mereka.
Majlis ringkas serahan tapak projek disempurnakan oleh wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, iaitu James Jimbun, bersama pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok serta kontraktor yang dilantik.

Tiga projek terbabit meliputi bekalan elektrik dan pendawaian ke Rumah Japar, Tinting Ringka, Sebetan dengan kos RM260,000 di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Selain itu naik taraf bekalan elektrik daripada fasa tunggal ke tiga fasa di Rumah Andrew Aji, Kedoh, Sebelak, Roban bernilai RM150,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Serta pendawaian semula di Rumah Ram Juta, Belawong, Awik, Saratok dengan kos RM150,000, turut dilaksanakan di bawah RTP.
Menurut Friday, pelaksanaan projek ini menyelesaikan kebimbangan penduduk terhadap risiko keselamatan akibat sistem elektrik lama dan tidak stabil.
“Terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas keprihatinan serta usaha berterusan memastikan kebajikan rakyat luar bandar terus terbela,” katanya.
Secara keseluruhan, projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 isi rumah, sekali gus meningkatkan taraf hidup serta memperkukuh kesejahteraan penduduk luar bandar di kawasan DUN Krian.
Oleh Adi Safarman