
PARIS: Bagi setiap pelaut, menamatkan perlumbaan Vendee Globe yang mengelilingi dunia tanpa henti adalah satu cabaran besar.
Namun, bagi skipper Perancis, Charlie Dalin, kejayaan menamatkan perlumbaan itu pada Januari lalu menjadi lebih luar biasa apabila beliau turut berjaya melawan kanser yang dihidapnya sepanjang perjalanan tersebut.
Pelaut berusia 41 tahun itu menerbitkan buku bertajuk The Power of Destiny (La Force du Destin) pada Khamis mendedahkan kepada AFP beliau menghidap penyakit kanser gastrousus jarang ditemui ketika mengemudi bot Macif menuju garisan penamat dalam tempoh rekod 64 hari.
“Sudah tentu kehadiran ‘penumpang tidak diundang’ ini menjadikan tugasan lebih rumit,” kata Dalin.
“Hari ini saya menganggapnya sebagai kemenangan berganda dalam perlumbaan, dan yang lebih penting, dalam segala apa yang telah saya lalui.”
Diam Demi Impian
Dalin, yang sebelum ini menduduki tempat kedua dalam Vendee Globe 2020-21, disahkan menghidap tumor stromal gastrousus (GIST) pada musim luruh 2023, hanya beberapa hari sebelum perlumbaan Transat Jacques Vabre bermula.

Beliau terpaksa menarik diri daripada perlumbaan itu untuk menjalani rawatan, namun selepas beberapa bulan, akhirnya beliau dibenarkan kembali ke laut.
“Kalau doktor ada sebarang keraguan, saya tak akan pergi,” katanya.
“Saya tidak akan ambil risiko terhadap isteri dan anak saya. Pelayaran adalah pekerjaan saya, dan mereka gembira saya dapat kembali ke laut.”
Dalin memilih untuk tidak mendedahkan penyakitnya kepada umum, bimbang ia akan menggagalkan peluangnya untuk menyertai edisi kedua Vendee Globe perlumbaan yang sangat diminati di Perancis.
Beberapa hari sebelum Macif berlepas dari Les Sables-d’Olonnedi barat laut Perancis pada November lalu, imbasan terkini menunjukkan tumornya tidak membesar.
“Penyakit ini buat saya melihat hidup dengan lebih mendalam,” katanya.
“Hanya dapat belayar pun sudah satu kemenangan. Orang selalu kata begitu, tapi dalam kes saya, memang betul-betul tepat.”
Setelah jauh dari daratan dan rutin ubat hariannya berjalan, naluri pelautnya terus mengambil alih.
Kerjaya Terhenti Buat Sementara
Walaupun berdepan keletihan berterusan, Dalin berjaya melepasi Tanjung Harapan di hadapan peserta lain, dan membuat keputusan berani untuk menghadapi ribut di Lautan Hindi, satu pertaruhan yang boleh meranapkan botnya.
Kebanyakan pesaing lain memilih untuk mengelaknya melalui laluan lebih panjang.

“Saya kekal dengan strategi saya, tidur purata enam setengah jam setiap 24 jam, lebih banyak daripada Vendee pertama saya,” katanya.
“Tiada gangguan di atas bot, jadi saya manfaatkan setiap masa terluang untuk tidur.”
“Saya mengalami sakit perut, tapi saya beritahu diri sendiri: kau tiada masa untuk risau. Sakit itu hilang secepat ia datang. Bila saya sampai ke darat, saya hampir terlupa yang saya pernah sakit.”
Harapan Buat Pesakit Lain
Apabila beliau menamatkan perlumbaan pada Januari, cork champagne dibuka bagi meraikan kejayaan namun hanya beberapa minggu kemudian, Dalin menjalani pembedahan.
“Tarikh pembedahan itu takkan berubah pun kalau saya tak belayar,” katanya, sambil menyatakan harapan agar kisahnya dapat memberi semangat kepada pesakit kanser lain.
“Kalau ia dapat bantu walaupun hanya empat orang yang sedang melalui perkara seperti ini, itu sudah cukup bermakna.”
Belum Sedia Kembali ke Laut
Dalin mengakui bahawa buat masa ini, kerjaya pelayarannya perlu dihentikan seketika.
“Hari ini, penyakit ini dalam keadaan stabil. Saya telah kehilangan banyak berat badan dan tidak lagi mampu menyertai perlumbaan jarak jauh,” jelasnya.
“Vendee Globe yang seterusnya mungkin tidak sesuai buat saya, tetapi saya berharap suatu hari nanti saya dapat kembali mungkin untuk perlumbaan merentasi Atlantik.” – AFP