
KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan menetapkan dua hari bermula 11 Disember ini untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata kedua-dua tarikh iaitu 11 dan 12 Disember ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof dan Mahyun Yusof semasa prosiding pengurusan kes secara dalam talian hari ini.
“Pihak-pihak berkaitan perlu memfailkan hujahan sebelum 26 November, dan mahkamah turut menetapkan 27 November ini untuk pengurusan kes,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Prosiding itu turut disertai peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Syed Saddiq.
Pada 25 Jun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin melepas serta membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.
Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai terbabit. – Bernama