
SIBU: Sekitar 2,000 penduduk Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seduan Rantau Panjang, di sini dibelenggu masalah bekalan air sejak lebih dua tahun lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) PPR Seduan Rantau Panjang, Michael Abok, masalah bekalan air yang tidak mencukupi dan berlarutan ini telah menjejaskan rutin harian mereka.
“Kami telah memohon bantuan daripada wakil rakyat serta Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), namun jumlah air yang dibekalkan masih tidak mencukupi untuk kegunaan harian kami.
“Justeru itu, bagi pihak penduduk flat PPR Rantau Panjang, kami merayu kepada pihak berkuasa berkaitan supaya membekalkan semula bekalan air yang mencukupi seperti sebelum ini.
“Kami juga berharap kerajaan Sarawak dapat membantu memastikan bekalan air mencukupi untuk para penghuni flat PPR di sini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri perjumpaan yang disertai oleh lebih 100 penghuni di pekarangan kawasan flat tersebut, hari ini.
Mengulas mengulas lanjut, Michael memberitahu, gangguan bekalan air sering berlaku dari pagi hingga ke petang.
“Di blok tempat saya tinggal, kami sepakat untuk menghidupkan pam air pada 6.30 petang supaya semua penduduk dapat menikmati bekalan air.
“Namun bagi blok lain, saya tidak pasti bagaimana mereka mengatur giliran,” jelasnya sambil memberitahu Flat PPR Rantau Panjang mempunyai enam blok kesemuanya.
Sementara itu, Presiden Sibu Shipyard Association, Ting Hua Ang berkata, masalah ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk, malah turut mengganggu operasi industri.
“Beberapa pihak industri telah berulang kali membuat aduan kepada Lembaga Air dan memohon bantuan lori tangki air, ” katanya.
Beliau memberitahu, tanpa bekalan air, penduduk dan pekerja terpaksa mandi dan mencuci pakaian di tepi sungai.
“Namun sejak kebelakangan ini, sungai tersebut dilaporkan menjadi tempat kemunculan buaya, ini menyebabkan keadaan amat berbahaya dan menakutkan bagi penduduk dan pekerja setempat.
Masalah air di Rantau Panjang bermula dengan tekanan air rendah sejak bertahun-tahun lalu sehinnga kini telah menjadi gangguan air sepenuhnya,” jelasnya.
Tambahnya, air merupakan sumber kehidupan dan nadi ekonomi, jika sebuah kawasan perindustrian tidak mampu menjamin bekalan air yang mencukupi, bagaimana mungkin dapat menarik pelaburan atau memacu pembangunan?.
“Kami dengan tulus menyeru kerajaan Sarawak agar mengambil serius isu ini,” kata beliau.
Turut hadir Presiden Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN), Ling Tiu Khing.
Oleh Akun Giman