
SIMANGGANG: Seramai 100 klien telah menyertai Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) Berasaskan Model i-Pulih bersama Ahli Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Hilir, Sri Aman, hari ini.
Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ini bertujuan memperkasakan pendekatan pemulihan penagih dadah secara menyeluruh berasaskan komuniti melalui pelaksanaan Model i-Pulih, yang menitikberatkan aspek individu, kekuatan komuniti dan intervensi bersepadu.
Antara pengisian utama termasuk ceramah penerangan mengenai pelaksanaan model berkenaan yang menekankan peranan komuniti serta kolaborasi pelbagai agensi dalam membantu proses pemulihan dan reintegrasi sosial klien AADK.

Turut sama menjayakan program ini ialah Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman yang menyediakan perkhidmatan Pusat Sehenti untuk Ketagihan (OSCA) dan kaunseling kesihatan bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan kesejahteraan fizikal dan mental dalam usaha pemulihan.
Menurut kenyataan AADK Daerah Sri Aman, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan menjadi platform penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, komuniti dan pihak AADK dalam memastikan rawatan dan pemulihan penagih dadah lebih efektif dan inklusif.
Usaha berterusan ini diharap dapat melahirkan komuniti prihatin dan bebas daripada gejala penagihan dadah, selaras dengan matlamat kerajaan membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan berdaya tahan.
Untuk maklumat lanjut atau bantuan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline AADK 1-800-22-2235 / 019-626 2233 atau layari www.aadk.gov.my.
Oleh Adi Safarman